MIDA, FMM dan Bintang Capital perkenal Dana BSIF I pacu industri semikonduktor Malaysia

28/04/2025 - 17:18
Oleh Shamsiah Zulkafli
KUALA LUMPUR 28 April - Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Persekutuan Pengilang-Pengilang Malaysia (FMM) dan Bintang Capital Partners melancarkan dana bagi memacu industri semikonduktor dengan tumpuan terhadap kelestarian dan pertumbuhan menyeluruh.
Dana Bintang Semiconductor Impact Fund I (BSIF I), yang dimeterai melalui Memorandum Persefahaman (MoU) antara tiga pihak itu, bertujuan untuk memberi perhatian kepada peluang-peluang dalam aspek alam sekitar dan sosial dalam industri semikonduktor.
Dana berkenaan menyasarkan pelaburan dalam syarikat-syarikat yang terlibat dalam dan sekitar rantaian nilai semikonduktor, termasuk pembuatan berteknologi tinggi dan automasi.
BSIF I memberi tumpuan kepada inisiatif peralihan karbon dan menggalakkan peluang pembangunan kerjaya untuk wanita, sambil mematuhi piawaian pensijilan B Corp global.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MIDA, Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid berkata, kerjasama tersebut mencipta ekosistem yang akan meningkatkan syarikat tempatan ke peringkat global.
"Fokus kami adalah untuk membangunkan keupayaan bertaraf dunia, menarik pelaburan premium dan menjadikan Malaysia sebagai hab semikonduktor global yang dipercayai.
"Kerjasama ini menyediakan platform yang sempurna untuk memupuk daya cipta, menggerakkan amalan lestari dan mencipta kesan ekonomi yang berkekalan untuk negara kita," katanya dalam satu kenyataan.
Presiden FMM, Tan Sri Soh Thian Lai pula berkata, dana itu membolehkan perniagaan tempatan meningkatkan keupayaan, mendapatkan peluang pembiayaan dan mengamalkan amalan terbaik dalam tadbir urus dan kelestarian.
"Ia sejajar dengan aspirasi FMM untuk membangunkan 100 syarikat yang bersedia untuk IPO dalam tempoh lima tahun.
"Kerjasama ini seiring dengan matlamat Strategi Semikonduktor Negara (SSN), yang memberi tumpuan kepada pembangunan keupayaan semikonduktor tempatan dan menyokong pertumbuhan PKS," jelasnya.
Melalui BSIF I, kerjasama tersebut juga bertujuan mengukuhkan rantaian nilai semikonduktor domestik dan mempersiapkan syarikat-syarikat untuk kemungkinan tawaran awam permulaan (IPO).
Ketua Pegawai Eksekutif Bintang Capital, Johan Rozali-Wathooth berkata, kerjasama berkenaan membawa bersama tiga elemen penting yang diperlukan untuk menaik taraf industri pembuatan teknologi tinggi yang berdaya saing dan lestari.
"Kerjasama ini mampu menjadikan Malaysia terkenal di seluruh dunia sebagai negara yang mempunyai ekosistem pembuatan teknologi tinggi yang unik dan memberi kesan besar," ujarnya. - DagangNews.com
standard

