Loke Ulangi Kepentingan Gunakan ‘Child Seat’, ‘Anda Boleh Kritik Saya, Tapi Jangan Abaikan Keselamatan’ 

LocalFamily & Parenting
30 Sep 2025 • 4:38 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Penggunaan kerusi keselamatan mampu melindungi nyawa anak-anak daripada bahaya - Gambar hiasan

KUALA LUMPUR - Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, hari ini mengulangi kepentingan penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak oleh ibu bapa, demi keselamatan ketika menaiki kenderaan.

Tegas Loke, beliau tidak kisah dikritik atau dikecam kerana pendirian itu, kerana apa yang penting ialah aspek keselamatan semua anak-anak terbabit.

“Anda boleh kritik atau kecam saya, tetapi tolong jangan abaikan penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak sekiranya anda memiliki anak kecil,” katanya dalam satu sidang media hari ini.

image is not available
Anthony Loke - Gambar fail

Jelas Loke, beliau tidak akan pernah jemu mengingatkan ibu bapa agar menggunakan kerusi berkenaan bagi melindungi nyawa anak mereka.

“Kementerian Pengangkutan (MoT) akan memperhebat usaha meningkatkan kesedaran dalam kalangan ibu bapa berhubung penggunaan kerusi tersebut.

“Ibu bapa perlu cakna dengan nilai nyawa yang mampu diselamatkan jika mereka menitik beratkan penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak itu,” katanya. 

Loke semalam menegaskan, beliau tidak menyalahkan ibu bapa atau keluarga mangsa, namun mahu insiden terbabit dijadikan peringatan berhubung kepentingan penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak.

Siasatan awal mendapati, bayi berusia 12 bulan yang maut dalam nahas di Plaza Tok Bukit Kajang Sabtu lalu tidak berada dalam kerusi keselamatan kanak-kanak ketika kejadian.

Dalam nahas sekitar jam 11 pagi itu, tiga kenderaan terdiri daripada Nissan X-Trail milik Jabatan Kerja Raya (JKR), Honda City dan Proton X70 dirempuh sebuah lori tiga tan membawa barangan besi buruk.

Siasatan polis mengesahkan bahawa pemandu lori melompat keluar selepas mendakwa kenderaannya mengalami kegagalan brek, sebelum ia  merempuh tiga kenderaan yang menuju ke plaza tol.

Pemandu lori berusia 42 tahun itu telah ditahan dan sedang disiasat kerana memandu secara melulu hingga menyebabkan kematian.

Siasatan juga mendapati lelaki terbabit memiliki beberapa saman trafik dan rekod jenayah berkaitan dadah sebelum ini, tetapi dilaporkan negatif dadah dan alkohol selepas kemalangan. - Getaran, 30 September 2026