liza02/11/2026 - 11:38 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 2 Nov – Portfolio penginapan yang diuruskan Exsim Hospitality Berhad (EXSIMHB) di bawah jenama Mana Mana melonjak 283% tahun ke tahun kepada 4,275 unit setakat Jun 2026 yang meletakkan kumpulan itu di landasan untuk mencapai sasaran lebih 10,000 unit menjelang tahun kewangan 2030 (FY30).
Daripada jumlah itu, sebanyak 2,443 unit sudah beroperasi manakala baki 1,832 unit masih dalam pembinaan atau menjalani kerja-kerja pengubahsuaian.
TA Research berkata, penyempurnaan dan kemasukan baki unit berkenaan ke dalam operasi dijangka memberikan sumbangan tambahan kepada hasil kumpulan apabila lebih banyak penginapan mula beroperasi.
Firma penyelidikan itu berpandangan pengembangan portfolio berkenaan akan mengukuhkan asas pendapatan EXSIMHB, selain menjadikan segmen hospitaliti sebagai antara pemacu pertumbuhan kumpulan dalam tempoh akan datang.
Dua hotel baharu tambah 531 bilik menjelang akhir November
Dalam perkembangan berkaitan, dua hotel milik kumpulan iaitu Portrait Hotel di Tower E, Empire City dan Portrait Resort, yang sebelum ini dikenali sebagai Corus Paradise Resort di Port Dickson, dijadual memulakan operasi menjelang akhir November 2026.
Kedua-dua aset itu akan menambah sebanyak 531 bilik kepada portfolio hotel milik dan dikendalikan sendiri oleh EXSIMHB, sekali gus memperluas sumber pendapatan berulang kumpulan.
Bagaimanapun, TA Research tidak menjangkakan sumbangan keuntungan yang ketara daripada segmen berkenaan pada FY27 berikutan hotel baharu lazimnya memerlukan tempoh untuk meningkatkan kadar penghunian dan mencapai tahap operasi optimum.
Firma penyelidikan itu menjangkakan sumbangan pendapatan lebih ketara daripada kedua-dua hotel berkenaan mulai FY29, apabila operasi semakin matang, disokong peningkatan kadar penghunian, hasil setiap bilik serta kecekapan operasi.
Buku tempahan kontrak pembinaan belum dilaksanakan cecah RM673.2 juta
EXSIMHB memperoleh kontrak baharu bernilai RM182.1 juta setakat tahun kewangan 2027 yang meningkatkan buku kontrak pembinaan belum dilaksanakan kepada kira-kira RM673.2 juta.
Jumlah itu bersamaan kira-kira 3.2 kali ganda hasil segmen pembinaan kumpulan bagi FY26, sekali gus memberikan keterlihatan pendapatan untuk tempoh satu hingga dua tahun akan datang.
Firma penyelidikan itu menganggarkan antara 35% hingga 40% daripada baki buku kontrak berkenaan akan diiktiraf sebagai hasil pada FY27, bersamaan RM235.6 juta hingga RM269.3 juta, yang mencerminkan pertumbuhan 10.6% hingga 26.4% tahun ke tahun.
Dari segi perolehan kontrak baharu, EXSIMHB sudah mencapai kira-kira 60.7% daripada sasaran TA Research sebanyak RM300 juta bagi FY27. Momentum itu dijangka berterusan, disokong aliran kontrak berulang daripada projek pembangunan hartanah EXSIM Development serta peluang tambahan menerusi penyertaan tender luar.
Selain itu, EXSIM Concepto, anak syarikat milik penuh EXSIMHB yang mengkhusus dalam kerja-kerja pengubahsuaian dalaman, sudah berdaftar sebagai kontraktor pengubahsuaian panel beberapa institusi kewangan termasuk CIMB, Affin Bank dan UOB.
TA Research naikkan harga sasaran kepada 59 sen
Dari segi penilaian, TA Securities menaikkan harga sasaran saham EXSIMHB kepada 59 sen daripada 56 sen sesaham, sambil mengekalkan saranan 'Buy' (Beli).
Dalam penilaian itu, segmen hospitaliti diberikan nilai RM598.84 juta, manakala segmen kerja-kerja pengubahsuaian dalaman bernilai RM528.01 juta.
Portrait Resort pula dinilai RM84 juta dan Portrait Hotel sebanyak RM168 juta, dengan kedua-dua aset itu diberikan diskaun 30% daripada anggaran nilai pasaran masing-masing bagi mengambil kira status operasi yang masih belum stabil serta risiko berkaitan.
TA Research juga mengekalkan unjuran keuntungan bersih EXSIMHB pada RM59 juta bagi FY27 dan RM79.5 juta bagi FY28, tanpa sebarang perubahan berbanding anggaran terdahulu.
Firma penyelidikan itu kekal positif terhadap prospek kumpulan, disokong rangkaian projek pembangunan EXSIM Group, pengembangan portfolio pengurusan hospitaliti serta permulaan operasi dua hotel milik kumpulan. - DagangNews.com

