liza20/10/2026 - 12:10 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 20 Okt – JF Apex Securities Research memulakan liputan terhadap 99 Speed Mart Retail Holdings Berhad dengan saranan ‘Beli’ dan harga sasaran RM3.70 sesaham disokong potensi pengembangan rangkaian kedai serta peningkatan margin keuntungan kumpulan itu dalam tempoh beberapa tahun akan datang.
Firma penyelidikan itu menjangkakan margin keuntungan sebelum cukai 99 Speed Mart meningkat daripada 7% pada tahun kewangan 2025 (FY2025) kepada 7.6% menjelang FY2029 apabila pertambahan skala operasi dan langkah penjimatan kos menyokong kecekapan perniagaan.
99 Speed Mart menyasarkan pembukaan kira-kira 250 cawangan setahun bagi meningkatkan jumlah rangkaiannya kepada 4,250 menjelang 2030 berbanding 3,151 cawangan setakat 30 Jun 2026.
JF Apex Securities berkata peluang untuk memperluaskan operasi masih terbuka khususnya di Sabah, Sarawak dan Pantai Timur yang belum diterokai sepenuhnya, selain potensi pertumbuhan jualan daripada cawangan sedia ada.
Firma itu mengunjurkan jumlah cawangan meningkat kepada 3,292 pada FY2026, 3,542 pada FY2027, 3,792 pada FY2028 dan 4,032 pada FY2029. Setiap cawangan baharu lazimnya mengambil masa kurang tiga tahun untuk mencapai titik pulang modal dan tiga hingga lima tahun untuk matang sepenuhnya.
Margin kasar meningkat kepada 20%
Selain pengembangan rangkaian, peningkatan kecekapan operasi turut menyokong prospek keuntungan 99 Speed Mart. Margin kasar kumpulan meningkat daripada 19% pada FY2024 kepada 19.5% pada FY2025 dan 20% pada separuh pertama FY2026.
Pada tempoh sama, perbelanjaan pentadbiran dan operasi lain meningkat 13.3%, lebih perlahan berbanding pertumbuhan hasil sebanyak 15.5%, sebahagiannya disokong penjimatan kos utiliti.
99 Speed Mart melaburkan RM52 juta dalam kecekapan tenaga pada FY2025, manakala 317 cawangan telah dilengkapi sistem fotovolta suria (PV). Penggunaan lampu LED dan penyaman udara pintar turut membantu mengawal kos operasi.
Jumlah transaksi sokong jualan
Dari segi permintaan, jumlah transaksi pelanggan meningkat 15.7% pada separuh pertama FY2026, manakala nilai purata pembelian bagi setiap transaksi kekal sekitar RM21.40 sepanjang 10 suku tahun.
JF Apex Securities berkata waktu operasi lebih panjang, promosi harga dan peluasan program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) turut menyokong jualan. Peruntukan SARA meningkat kepada RM8 bilion pada 2026 berbanding RM5 bilion pada 2025.
Bagaimanapun, firma itu mengunjurkan pertumbuhan jualan kedai sedia ada (SSSG) menjadi lebih sederhana pada 6% setahun bagi FY2027 hingga FY2029, berbanding 9.1% pada separuh pertama FY2026.
Harga sasaran RM3.70 sesaham
Harga sasaran RM3.70 yang ditetapkan JF Apex Research berdasarkan kaedah aliran tunai terdiskaun (DCF) menunjukkan potensi kenaikan modal 19.0% dan jumlah pulangan 20.5%, termasuk anggaran hasil dividen FY2027 sebanyak 1.6%.
Penilaian itu mengambil kira nilai perusahaan RM30.1 bilion dan unjuran tunai bersih RM900 juta pada akhir FY2026, yang menghasilkan anggaran nilai ekuiti RM31.0 bilion.
Antara risiko yang dikenal pasti ialah kemungkinan pengurangan bantuan tunai SARA dan Sumbangan Tunai Rahmah (STR), peningkatan kos gaji serta tenaga kerja, dan cabaran memastikan pembukaan cawangan baharu serta pengembangan kapasiti pusat pengedaran berjalan mengikut perancangan.
Bagi FY2022 hingga FY2025, hasil 99 Speed Mart berkembang pada kadar tahunan terkompaun 12.3%, manakala keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti meningkat 30.5% kepada RM607.3 juta pada FY2025.- DagangNews.com




