amree21/09/2026 - 11:30 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 21 Sept — Inflasi Malaysia dikhuatiri terus meningkat hingga akhir 2026 dengan kenaikan harga minyak, utiliti dan makanan mula memberi tekanan ketara terhadap kos pengguna, sekali gus meningkatkan risiko kadar melepasi paras 2% dalam beberapa bulan akan datang, menurut penganalisis.
Mereka berpandangan, tekanan itu semakin jelas apabila Indeks Harga Pengguna (IHP) naik kepada 1.9% tahun ke tahun (YoY) bagi Ogos 2026 berbanding 1.8% pada bulan sebelumnya, dengan kenaikan harga bahan api, makanan dan utiliti menjadi antara pemacu utama.
Antara firma penyelidikan berkenaan, TA Research menjangkakan momentum tersebut berterusan secara sederhana sehingga hujung tahun, dengan lebih membimbangkan, kenaikan harga input berpotensi diteruskan kepada pengguna sekiranya kos tenaga dan operasi kekal tinggi.
"Ini terutama membabitkan komponen berwajaran besar dalam bakul IHP, termasuk makanan dan minuman, perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api serta pengangkutan," jelasnya yang menjangka inflasi utama berkemungkinan berada di atas paras 2% dalam beberapa bulan akan datang.
Kadar itu dikhuatiri lebih tinggi menjelang akhir tahun, dengan risiko peningkatan turut datang daripada harga tenaga global, ketegangan geopolitik, gangguan bekalan makanan akibat cuaca buruk serta peningkatan pemindahan kos kepada pengguna.
Bagaimanapun, TA Research mengekalkan unjuran inflasi utama 2026 pada 2.1%, sambil menyifatkan peningkatan terkini lebih banyak dipacu tekanan kos berbanding permintaan domestik. Inflasi teras sebenarnya menurun kepada 1.7% pada Ogos daripada 1.8% pada Julai.

Tekanan harga turut ketara dalam beberapa komponen utama, dengan inflasi makanan dan minuman meningkat kepada 1.9% daripada 1.8%, perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api kepada 2.1% daripada 1.8%, manakala pengangkutan meningkat kepada 2.0% daripada 1.4%.
"Bagi segmen pengangkutan, purata harga petrol RON97 meningkat kepada RM4.28 seliter pada Ogos daripada RM4.07 pada Julai, manakala harga diesel pasaran meningkat kepada RM4.60 daripada RM4.14. Harga diesel bersubsidi pula kekal pada RM2.10 seliter," katanya.
Sementara itu, Phillip Capital Research mengambil pandangan lebih terkawal dengan mengekalkan unjuran inflasi utama 2026 pada 1.8%, walaupun mengakui inflasi Ogos meningkat buat kali pertama selepas dua bulan berturut-turut mereda.
Menurutnya, kenaikan tersebut didorong terutamanya oleh komponen perumahan dan pengangkutan susulan harga komoditi global yang lebih tinggi, manakala inflasi teras pula terus menurun untuk bulan ketiga kepada 1.7%, dan inflasi perkhidmatan kekal pada 2.2%.
Firma itu turut menjangkakan tekanan inflasi domestik kekal terkawal menerusi langkah subsidi, termasuk kuota bulanan BUDI95 sebanyak 300 liter, kuota diesel 400 liter bagi pemilik kenderaan yang layak serta peningkatan ambang perlindungan bil elektrik kepada 800 kWh daripada 600 kWh.
"Kami menjangkakan mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) menetapkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) kekal pada 2.75% sepanjang 2026 dan hanya berpotensi dinaikkan pada tahun depan," jelas Phillip Capital.
Langkah berkenaan ujarnya, sebagai penting untuk diperhatikan sekiranya tekanan inflasi di negara ini semakin meluas dan memberi kesan besar kepada kehidupan rakyat. - DagangNews.com






