Harga minyak tidak menentu, kerajaan kekal lindungi rakyat – Akmal

LocalPolitics
24 Sep 2026 • 2:59 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Harga minyak tidak menentu, kerajaan kekal lindungi rakyat – Akmal

GEORGE TOWN – Kerajaan kekal komited menyediakan mekanisme perlindungan kepada rakyat menerusi subsidi bersasar bagi mengurangkan impak kenaikan harga minyak dunia menerusi Belanjawan 2027.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir berkata, antara perkara yang perlu diberi perhatian adalah usaha menstabilkan serta mengurangkan kesan kenaikan harga minyak kepada rakyat, termasuk melalui subsidi Budi95.

Menurutnya, langkah berkaitan subsidi diesel yang dilaksanakan sebelum ini juga menunjukkan usaha kerajaan menyediakan ‘buffer’ atau perlindungan kepada golongan yang terkesan, meskipun ia dilaksanakan secara bersasar dan mempunyai had tertentu.

“Peranan kerajaan di sini adalah untuk melihat bagaimana kita menstabilkan dan juga mengurangkan impak kenaikan harga minyak itu kepada rakyat melalui Budi95. Pada masa sama, kita baru-baru ini melihat soal diesel dan sebagainya supaya ‘buffer’ ataupun perlindungan kepada rakyat kebanyakan itu ada.

“Walaupun berbentuk bersasar, ada jumlah yang kita tetapkan ataupun hadkan, tetapi perkara itu cukup untuk membolehkan urusan dan aktiviti ekonomi berjalan dengan baik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai bentuk perlindungan yang boleh dijangka rakyat menerusi Belanjawan 2027 dalam keadaan harga minyak dunia yang tidak menentu.

Terdahulu, beliau hadir menyempurnakan Majlis KL20 Penang 2026 yang berlangsung di Penang Waterfront Convention Centre (PWCC) di sini, hari ini. Turut hadir ialah Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.

Dalam pada itu, katanya lagi, cabaran utama kerajaan adalah mengimbangi keperluan memberikan perlindungan kepada rakyat melalui subsidi minyak dengan komitmen fiskal negara.

Katanya, kerajaan pada masa sama perlu memastikan pembangunan serta pertumbuhan ekonomi negara terus dipacu.

“Ini antara cabaran yang perlu kita rungkaikan dalam Belanjawan, iaitu mengimbangi perlindungan kepada rakyat melalui subsidi minyak, terutamanya dengan komitmen fiskal,” ujarnya.

Jelas beliau, perkara tersebut dijangka menjadi antara perkara yang perlu diketengahkan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2027 tidak lama lagi.

“(Cabaran) ini supaya dalam keadaan harga minyak masih tinggi, dan juga penghujungnya masih tidak menentu, negara masih boleh terus merancang soal pembangunan dan juga soal kemajuan ekonomi kita,” tambahnya.

Selasa lalu, media melaporkan kenaikan harga minyak dunia tidak akan mengganggu perancangan pembangunan negara di bawah Belanjawan 2027.

Akmal dilaporkan berkata, perbelanjaan pembangunan negara bagi tahun depan akan diteruskan seperti yang dirancang, meskipun kerajaan perlu menguruskan kesan kenaikan harga minyak dunia terhadap subsidi dan ruang fiskal negara. -KOSMO! ONLINE

The post Harga minyak tidak menentu, kerajaan kekal lindungi rakyat – Akmal appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved