Lori hijau: Pengarah syarikat, pekerja kilang didakwa curi, cuba bunuh

6 Oct 2026 • 2:19 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Lori hijau: Pengarah syarikat, pekerja kilang didakwa curi, cuba bunuh

JOHOR BAHRU – Seorang pengarah syarikat dan pekerja kilang plastik dihadapkan ke dua mahkamah di sini hari ini atas pertuduhan mencuri sebuah lori berwarna hijau, memandu secara berbahaya, menghalang polis, memiliki dadah dan cubaan membunuh, akhir bulan lalu.

Pengarah syarikat, Chai Min Quan, 37, dan pekerja kilang plastik, Low Boon Lai, 39, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan tiga majistret dan seorang hakim.

Di hadapan Majistret A. Shaarmini, kedua-dua tertuduh didakwa bersama-sama mencuri sebuah motolori jenis CD45 milik seorang lelaki di parkir hadapan sebuah stesen minyak di Jalan Mutiara, Taman Perindustrian Plentong, Masai, di sini pada pukul 7.40 pagi, 30 September lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Sementara itu, di hadapan Majistret Nur Fatin Muhammad Farid, kedua-dua tertuduh turut didakwa memandu lori jenis sama secara berbahaya dengan melakukan perbuatan melawan arus dan membuat pusingan U di Jalan Mawar Biru, Seri Alam, Pasir Gudang, pada pukul 10.20 pagi pada tarikh sama.

Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun dan denda tidak kurang RM15,000 jika sabit kesalahan.

Boon Lai kemudian dihadapkan di hadapan Majistret Atifah Hamizah Wahab atas dua pertuduhan lain iaitu menghalang penjawat awam menjalankan tugas dan memiliki dadah jenis methamphetamine seberat 0.7 gram.

Bagi pertuduhan menghalang polis, tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di kawasan pentadbiran Balai Polis Pasir Putih pada pukul 8.25 pagi, manakala kesalahan memiliki dadah didakwa berlaku di tepi Jalan Mawar Biru, Pasir Gudang pada pukul 10.20 pagi, kedua-duanya pada 30 September lalu.

Pertuduhan menghalang penjawat awam dikemukakan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan, manakala pertuduhan memiliki dadah dibuat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 12(3) akta sama.

Dalam perkembangan sama, Min Quan turut berdepan pertuduhan di Mahkamah Sesyen di hadapan Hakim N. Kanageswari atas dakwaan cuba membunuh seorang wanita.

Tertuduh mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan.

Mahkamah kemudian membenarkan Min Quan diikat jamin RM17,000 dengan seorang penjamin, manakala Boon Lai dikenakan jaminan RM18,000 dengan seorang penjamin.

Mahkamah menetapkan 23 Oktober, 5 dan 18 November serta 7 Disember depan sebagai tarikh sebutan semula bagi urusan serahan dokumen, lantikan peguam dan laporan kimia.-KOSMO! ONLINE

The post Lori hijau: Pengarah syarikat, pekerja kilang didakwa curi, cuba bunuh appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved