Lori hilang kawalan rempuh rumah, tiga sekeluarga terselamat

5 Oct 2026 • 11:00 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Lori hilang kawalan rempuh rumah, tiga sekeluarga terselamat

SHAH ALAM, 5 OKT: Tiga sekeluarga terselamat selepas sebuah lori membawa muatan dedak makanan haiwan mengundur sebelum merempuh rumah mereka di Kampung Betong, Jeneri, Sik, Kedah tengah hari tadi.

Dalam kejadian kira-kira 12.45 tengah hari itu, lori berkenaan dipercayai mengundur di jalan berbukit sebelum hilang kawalan dan merempuh bahagian dapur rumah terbabit, lapor Berita Harian.

Pemilik rumah, Nor Amirah Mohd Latif, 38, berkata ketika kejadian dia bersama anak bongsunya, Afiyah Haura Herman, 5, berada di ruang dapur untuk makan tengah hari, manakala suaminya, Herman Abd Samad, 43, berada di ruang hadapan rumah.

Katanya, dia baru selesai menghidangkan makanan di atas meja apabila anaknya mengadu tidak sedap badan dan berasa hendak muntah.

"Syukur Alhamdulillah kami selamat daripada kemalangan ini kerana waktu itu saya sedang hidang makanan untuk makan tengah hari tetapi disebabkan anak hendak muntah, kami pergi ke pintu dapur sebelum terdengar bunyi dentuman kuat," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, dia bersama anaknya terus berlari ke pintu belakang berhampiran dapur sebelum terdengar bunyi dentuman kuat.

"Bunyinya sangat kuat, ingatkan gempa bumi. Apabila melihat di dapur rumah, saya nampak sebahagian lori sudah masuk ke dalam ruangan dapur berhampiran meja yang siap dengan nasi serta lauk tengah hari," katanya.

Nor Amirah berkata, rempuhan itu menyebabkan dinding dapur rumahnya rosak dan menghempap meja makan, hanya beberapa meter dari tempat dia dan anaknya berada.

Sementara itu, peniaga gerai makanan, Suzila Othman, 50, berkata ketika kejadian dia sedang membuka gerainya untuk jualan sebelah petang dan ternampak lori berkenaan menghala ke Kampung Kubang Lintah.

Katanya, lori yang berada kira-kira 200 meter dari gerainya itu dilihat mengundur dengan laju sebelum dipercayai hilang kawalan dan merempuh rumah penduduk di seberang jalan.

"Saya nampak lori dedak itu mengundur dengan laju dan mungkin hilang kawalan lalu menghentam rumah penduduk berkenaan yang berada di seberang jalan di hadapan gerai saya.

"Nasib baik ketika kejadian tiada kenderaan lain di belakang lori itu. Jika tidak, mungkin berlaku kemalangan maut," katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sik, Penolong Penguasa Bomba Mohd Jamil Mat Daud berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 2.17 petang berhubung kemalangan membabitkan sebuah lori membawa muatan dedak makanan haiwan yang merempuh sebuah rumah.

Beliau berkata, sepasukan tujuh anggota dari BBP Sik yang diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Mohd Azizi Othman tiba di lokasi tidak lama kemudian.

"Setibanya di lokasi, didapati pemandu lori terbabit dipercayai sudah dibawa orang awam ke klinik berhampiran selepas mengalami kecederaan akibat kejadian itu.

"Anggota bomba bertindak memotong kabel bateri selain memastikan tiada mangsa serta sebarang bahaya di tempat kejadian.

"Tiga mangsa dalam rumah itu selamat dan rempuhan itu menyebabkan dinding di bahagian dapur runtuh," katanya.

Mohd Jamil berkata, operasi turut dibantu polis dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang bertindak memotong bekalan elektrik selepas tiang elektrik di situ turut terjejas akibat rempuhan.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved