
SHAH ALAM: Kemalangan yang membabitkan sebuah lori 10 tan di susur masuk Alam Budiman dekat Persiaran Mokhtar Dahari, di sini, hari ini akibat hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar pembahagi jalan.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Sarudin Samah berkata, dalam kejadian berlaku kira-kira pukul 3.24 petang itu, lori rigid jenis Nissan yang membawa muatan batu kerikil itu dipandu oleh seorang lelaki berusia 41 tahun.
Katanya, pemandu terbabit dalam perjalanan dari Puchong menuju ke Puncak Alam sebelum terlibat dalam kemalangan di lokasi berkenaan.
“Lori itu terbabas ke susur kiri sebelum mengiring terbalik ke kanan.
“Kemalangan itu mengakibatkan pemandu tersepit dalam lori namun berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Saksi atau orang ramai yang mempunyai maklumat diminta membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam, Inspektor Zaharizul Zamri di talian 019-3229097,” ujarnya.
Terdahulu, pemandu berkenaan yang bernama M. Nantha Kumar dilapor mengalami cedera pada bahagian kaki dan tangan akibat tersepit selepas lori dipandunya itu terbalik.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, mangsa hanya dapat dikeluarkan selepas lebih satu jam tersepit.
Untuk rekod, sebanyak tiga kemalangan dilaporkan berlaku dalam tempoh 10 hari sejak 9 Oktober lalu yang membabitkan kejadian 11 kereta dirempuh sebuah lori yang dipandu oleh pemandu di bawah pengaruh dadah.
Polis kemudian mengesahkan, pemandu berusia 51 tahun itu didapati positif amphetamine dan methamphetamine atau syabu ketika memandu kenderaan berat tersebut dituduh pada 13 Oktober lalu di Mahkamah Majistret.
Seminggu kemudian, satu lagi kemalangan melibatkan empat kenderaan dilaporkan di Kilometer (KM) 9.2 Persiaran Mokhtar Dahari yang didapati berpunca daripada pemandu sebuah trak pikap melanggar belakang sebuah lori lalu hilang kawalan dan masuk ke arah bertentangan.
Trak pikap tersebut kemudian merempuh sebuah lagi lori dan kereta di laluan berkenaan yang mengakibatkannya cedera di tangan, kaki dan beberapa anggota badan lain. – UTUSAN
The post Lori hilang kawalan terbabas di Persiaran Mokhtar Dahari appeared first on Utusan Malaysia.


![[VIDEO] Pemandu lori 10 tan tersepit dalam nahas di Persiaran Mokhtar Dahari](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/10/WhatsApp-Image-2026-10-19-at-5.50.21-PM.jpeg)



