Lori Imigresen disyaki dilanggar sebelum rempuh tiga sekeluarga

19 Aug 2026 • 8:12 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Lori Imigresen disyaki dilanggar sebelum rempuh tiga sekeluarga

KUALA LUMPUR: Lori Jabatan Imigresen (Imigresen) yang terlibat dalam kemalangan maut di Jalan Sultan Ismail, di sini, awal pagi tadi, dipercayai dirempuh sebuah Proton Saga sebelum terbabas dan melanggar empat sekeluarga yang sedang menunggu untuk melintas jalan.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Muhammed Hasbullah Ali berkata, kemalangan berlaku kira-kira 1 pagi itu apabila lori tanpa muatan itu dalam perjalanan menuju Kampung Baru melalui persimpangan lampu isyarat antara Jalan Sultan Ismail dan Jalan Tuanku Abdul Rahman (Jalan TAR), berhampiran Maju Junction di sini.

Beliau berkata, lori Imigresen melalui persimpangan berkenaan ketika lampu isyarat laluannya merah namun lampu suar (beacon) dan siren kenderaan itu diaktifkan.

“Pada masa sama, sebuah kereta jenis Proton Saga yang datang dari arah Chow Kit menghala ke Jalan TAR selepas lampu isyarat hijau, melanggar bahagian hadapan lori berkenaan.

“Akibat pelanggaran itu, pemandu lori Imigresen gagal mengawal kenderaannya sebelum melanggar satu keluarga yang sedang menunggu untuk melintas jalan dari arah Medan Tuanku menuju ke Chow Kit.

“Lori berkenaan turut melanggar sebuah lagi kenderaan jenis Inokom Matrix yang sedang berhenti di lampu isyarat dari arah Kampung Baru menuju ke Jalan Raja Laut,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Muhammed Hasbullah berkata, siasatan lanjut kini dijalankan termasuk meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian serta mengesan saksi bebas bagi membantu siasatan.

“Sehubungan itu, saya meminta semua pihak terutama masyarakat supaya tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kejadian ini sehingga siasatan selesai dijalankan,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Dalam kejadian itu, tiga daripada empat sekeluarga maut selepas dirempuh lori jenis Isuzu Black Maria milik Imigresen Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Siasatan awal mendapati lori tanpa penumpang berkenaan dipandu lelaki berusia 43 tahun yang dalam perjalanan dari Pejabat Imigresen Kuala Lumpur menuju ke Chow Kit bagi tujuan mengambil Orang Kena Tahan (OKT).

Mangsa dikenali sebagai Shaik Mohd Firdaus Shaikh Yahya, 53, dan dua anak perempuannya, Siti Nor Sazlin, 25, serta Siti Darwisyah Auni, 12.

Isteri mangsa, Norhayati Razali, 55, yang turut terbabit dalam nahas itu dilaporkan parah dan kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) HKL.- UTUSAN

The post Lori Imigresen disyaki dilanggar sebelum rempuh tiga sekeluarga appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved