Lori rempuh kereta peronda polis di lorong kecemasan Lebuh Raya Kesas

10 Nov 2026 • 6:04 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Lori rempuh kereta peronda polis di lorong kecemasan Lebuh Raya Kesas

KUALA LUMPUR – Sebuah kereta peronda polis yang sedang berhenti di lorong kecemasan untuk menjalankan pemeriksaan terhadap sebuah kenderaan awam dirempuh sebuah lori dalam kejadian di Lebuh Raya Shah Alam (Kesas), Sabtu lalu.

Kejadian kira-kira pukul 1.05 petang itu berlaku berhampiran persimpangan Lebuh Raya Maju Expressway (MEX), bagi laluan dari arah Sri Petaling menghala ke Shah Alam.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd. Zamzuri Mohd. Isa berkata, siasatan awal mendapati kereta peronda Balai Polis Petaling itu dipandu seorang anggota polis lelaki berusia 40 tahun.

Menurutnya, ketika anggota berkenaan sedang menjalankan pemeriksaan, sebuah lori yang dipandu lelaki berusia 37 tahun datang dari arah belakang melalui lorong kecemasan sama sebelum merempuh bahagian belakang kereta peronda tersebut.

“Siasatan awal menunjukkan kemalangan dipercayai berpunca daripada pemandu lori yang gagal mengawal kenderaannya.

“Kedua-dua pemandu bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kejadian itu,” katanya dalam kenyataan.

Mohd. Zamzuri berkata, ujian pernafasan alkohol terhadap pemandu lori berkenaan mencatatkan bacaan sifar, manakala keputusan ujian saringan awal air kencing juga negatif.

Katanya, pemandu lori itu ditahan sebelum dibebaskan dengan jaminan polis sementara siasatan dilengkapkan.

“Kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya secepat mungkin dan kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sebelum ini tular rakaman kamera papan pemuka (dashcam) di media sosial memaparkan sebuah lori bergerak di lorong kecemasan sebelum kelihatan sebuah kereta peronda polis dengan lampu amaran berkelip di bahu jalan.– KOSMO! ONLINE

The post Lori rempuh kereta peronda polis di lorong kecemasan Lebuh Raya Kesas appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved