KAJANG - Pemandu lori yang membawa muatan tong gas hingga terbabas sendiri dan terbalik di Kilometer 6.4 Lebuhraya Kajang Silk (Silk) di sini pada Jumaat dikenal pasti sebagai warga asing dan tidak mempunyai lesen memandu.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, kemalangan terbabit berlaku pada jam 2.33 petang.
Menurutnya, siasatan mendapati lori membawa muatan tong gas yang dipandu seorang lelaki warga asing berumur 26 tahun tiada lesen memandu bersama penumpang seorang lelaki warga asing berusia 49 tahun.
"Kemalangan dipercayai berlaku ketika lori itu melalui jalan berselekoh menuruni bukit tiba-tiba tidak dapat mengawal kenderaan lalu terbabas serta terbalik beberapa kali dan melanggar batu penghadang jalan di sebelah kanan.
"Kemalangan menyebabkan penumpang lori mengalami kecederaan dan sedang menerima rawatan di hospital sementara pemandu tidak mengalami apa-apa kecederaan," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Tambahnya, tiada kebocoran gas dan kebakaran berlaku.
Jelasnya, ujian saringan air kencing terhadap pemandu terbabit didapati negatif dadah.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan pihak syarikat juga telah dipanggil bagi membantu siasatan," ujarnya.
Kata beliau, orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat mengenai kejadian ini diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Ahmad Zahrein Muhd Suod di talian 017-3818422.
"Pihak polis menasihatkan pengguna jalan raya supaya mengamalkan pemanduan yang berhemah, sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya serta berhati-hati semasa memandu," ujarnya.


