Kerjaya Prospek raih kontrak RM162 juta bina servis apartmen di Johor Bahru

08/05/2025 - 14:41
Oleh 'AINA SYAZWINA
KUALA LUMPUR 8 Mei – Kerjaya Prospek Group Berhad menerima surat anugerah daripada Majestic Gen Sdn Bhd bagi kontrak pembinaan bernilai RM162 juta di Johor Bahru.
Kontrak itu melibatkan pembinaan bangunan utama bagi Gen Rise, sebuah servis apartmen 47 tingkat berdekatan kawasan kastam, imigresen dan kuarantin (CIQ) dan Bukit Chagar (RTS), merangkumi satu blok dengan 732 unit, sembilan tingkat parkir podium dan kemudahan lain.
Kerja pembinaan dijadual bermula 1 Ogos 2025 dan siap dalam tempoh 36 bulan.
Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif Kerjaya Prospek, Tee Eng Tiong berkata, pihaknya berbesar hati diberi kepercayaan melaksanakan projek sulung Majestic Gen di Johor, yang juga merupakan kontrak pertama kumpulan itu di negeri berkenaan bagi tahun 2025.
"Fokus kami kekal di tiga wilayah pembangunan utama iaitu Lembah Klang, Pulau Pinang, dan Johor.
"Kawasan ini terus membangun dengan pesat dan permintaan yang tinggi, sekali gus membentuk cara hidup bandar pada masa depan," katanya dalam satu kenyataan.
Syarikat meraih kontrak baharu berjumlah RM870.3 juta, sekali gus berada pada landasan kukuh untuk mencapai sasaran RM1.6 bilion bagi 2025.
Ketua Pegawai Eksekutif Majestic Gen, Datuk Sr. Hoo Kim See berkata, pihaknya teruja untuk menyerahkan pembinaan Gen Rise, projek pertama di Johor, kepada Kerjaya Prospek yang memiliki reputasi yang kukuh dalam industri pembinaan.
"Kami berharap kerjasama ini dapat meningkatkan keyakinan pasaran terhadap projek kami, yang sedang dan akan datang, dengan nilai pembangunan kasar dianggarkan sebanyak RM3.7 bilion," katanya.- DagangNews.com
standard
