TechStore raih kontrak RM15.9 juta selenggara sistem ICT PDRM 

LocalTechnology
9 May 2025 • 9:30 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

TechStore raih kontrak RM15.9 juta selenggara sistem ICT PDRM

image is not available

09/05/2025 - 09:30

Oleh 'AINA SYAZWINA

KUALA LUMPUR 9 Mei — TechStore Bhd meraih kontrak tiga tahun bernilai RM15.91 juta daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi menyediakan perkhidmatan penyelenggaraan dan sistem sokongan ICT untuk Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Tech-Store Malaysia menerima surat anugerah (LOA) bagi tempoh perkhidmatan bermula 12 Mei 2025 hingga 11 Mei 2028 daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Pengarah Urusan TechStore, Tan Hock Lim berkata, kontrak itu akan mengukuhkan lagi buku pesanan kumpulan yang kini merangkumi perkhidmatan IT untuk agensi kerajaan serta projek infrastruktur besar seperti Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) dan Sistem Transit Pantas (RTS) Link antara Malaysia dan Singapura.

Aliran projek syarikat kekal kukuh dengan nilai buku tender mencecah RM647.2 juta setakat 31 Disember 2024 yang mencerminkan potensi pertumbuhan berterusan syarikat.

TechStore menawarkan rumusan keselamatan dan automasi IT merangkumi sistem kawalan dan arahan, sistem pemantauan seperti kamera litar tertutup (CCTV), penggera kebakaran, serta sistem pembayaran dan operasi elektronik.

IPO TechStore mengumpul RM30 juta, dengan RM25 juta diterima syarikat daripada terbitan saham baharu, dan RM5 juta kepada pemegang saham yang menjual saham sedia ada.- DagangNews.com

standard