Lotus’s, KPDN bantu PKS tempatan tembusi pasaran peruncitan menerusi 71 cawangan

LocalBusiness & Finance
23 Oct 2026 • 5:16 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Lotus’s, KPDN bantu PKS tempatan tembusi pasaran peruncitan menerusi 71 cawangan Image from: Lotus’s, KPDN bantu PKS tempatan tembusi pasaran peruncitan menerusi 71 cawangan sarah23/10/2026 - 17:16 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 23 Okt - Lotus’s Malaysia membuka peluang kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan untuk menembusi pasaran peruncitan moden menerusi rangkaian 71 cawangannya di seluruh negara, dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) melalui kempen JOM MALAYSIA 2026.

 

Inisiatif itu bukan sekadar menyediakan akses kepada pasaran pengguna yang lebih luas, malah membantu usahawan tempatan meningkatkan keupayaan perniagaan, daripada kualiti produk dan pembungkusan sehingga pengurusan inventori serta konsistensi bekalan.

 

Lotus’s Malaysia dalam kenyataan berkata, kempen yang dilancarkan di Lotus’s Ampang turut menyaksikan pelantikan pembekal baharu, selain pengiktirafan kepada pembekal PKS cemerlang berdasarkan pertumbuhan jualan dan prestasi penghantaran.

 

Pengarah Eksekutif Perkhidmatan Korporat Lotus’s Malaysia, Azliza Baizura Azmel berkata, usaha memperkukuh kedudukan PKS dalam sektor peruncitan memerlukan sokongan berterusan yang melangkaui penyediaan ruang jualan semata-mata.

 

“Peranan kami bukan sekadar menyediakan ruang di rak jualan. Kami mahu membantu usahawan membina keupayaan dan keyakinan untuk terus berkembang.

 

“Apabila pembekal kami berjaya, pelanggan mendapat manfaat melalui pilihan produk yang lebih luas dan nilai yang lebih baik, manakala perniagaan kami turut berkembang bersama mereka,” katanya.

 

Menurut Lotus’s, kemampuan memenuhi spesifikasi produk, keperluan pembungkusan, pengurusan inventori dan penghantaran bekalan secara konsisten merupakan antara faktor penting bagi membolehkan PKS membina hubungan komersial jangka panjang dengan peruncit.

 

Sehubungan itu, syarikat meneruskan Seminar Pemerkasaan PKS yang memasuki edisi ketiga tahun ini, dengan setiap edisi menarik lebih 150 peserta daripada lebih 80 perusahaan mikro bagi mendapatkan pendedahan mengenai penjenamaan, kualiti produk dan keperluan operasi peruncitan moden.

 

Kempen JOM MALAYSIA 2026 turut menampilkan karnival selama empat hari di Lotus’s Ampang, menghimpunkan 20 usahawan tempatan untuk memperkenalkan produk secara langsung kepada pelanggan, meningkatkan keterlihatan jenama serta memahami keperluan pengguna.

 

Program yang dirasmikan oleh Setiausaha Bahagian Perdagangan Pengedaran dan Perniagaan KPDN, Datuk Rohaizi Bahari, bersama Azliza Baizura itu merupakan sebahagian daripada usaha memperkukuh kerjasama kerajaan dan sektor peruncitan dalam membangunkan PKS tempatan.

 

Kempen berkenaan, yang sebelum ini dikenali sebagai Kempen Beli Barangan Malaysia, dijenamakan semula oleh KPDN pada 2026 dengan penekanan lebih menyeluruh terhadap promosi produk tempatan dan peningkatan daya saing perusahaan Malaysia.- DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved