amree13/10/2026 - 17:20 ANDREW LUI Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 13 Okt – Regtitude Limited memperkenalkan rangka kerja rentas sempadan bagi membantu pemain FinTech, Web3 dan perusahaan digital memasuki pasaran Hong Kong serta sebahagian tanah besar China yang mencecah nilai lebih AS$2 trilion (RM8.17 trilion).
Menurutnya dalam kenyataan, inisiatif dikenali 'HK/China Expansion Bridge' itu memudahkan proses kemasukan melalui penyelarasan pematuhan kawal selia, pelesenan, keselamatan siber dan dokumentasi perundangan bagi mengurangkan kerumitan merentasi bidang kuasa berbeza.
Ujarnya, peluang itu muncul ketika Malaysia memberi tumpuan kepada pembangunan kecerdasan buatan (AI), infrastruktur digital dan pembiayaan perdagangan rentas sempadan menerusi agenda ekonomi negara, sekali gus membuka ruang pengembangan yang bernilai tinggi.
"Greater Bay Area memiliki penduduk lebih 86 juta orang dengan gabungan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) melebihi AS$2 trilion menawarkan potensi besar, namun syarikat memerlukan pemahaman mengenai peraturan, pelesenan dan keperluan keselamatan siber," kata Regtitude.
Rangka kerja tersebut merangkumi empat peringkat utama, iaitu penilaian risiko rentas sempadan, pematuhan peraturan dan pelesenan, integrasi infrastruktur Web3 serta keselamatan siber, dan pengembangan komersial di GBA dengan sokongan perlindungan perundangan Hong Kong.
Bagi menyokong pelaksanaan, inisiatif itu meliputi kepakaran beberapa penyedia, termasuk 221b Ltd menawarkan sistem pemantauan transaksi dan risiko kawal selia, serta NicSRS menyediakan prasarana identiti digital dan pengurusan kitaran hayat sijil digital.

Jelas Regtitude, usaha terbaharu itu turut melibatkan ask.legal, platform perundangan dijana AI yang menyediakan analisis kawal selia dan automasi penyediaan dokumen bagi bidang kuasa seperti Hong Kong, Singapura, United Kingdom dan Australia.
"Kami sebagai firma nasihat tadbir urus, risiko dan pematuhan (GRC) serta teknologi berpangkalan di Hong Kong, menyelaras pendekatan bersepadu itu bagi membantu perusahaan mengurus keperluan sebelum mengembangkan perniagaan ke Greater China," jelasnya.
Pengasas Bersama Regtitude, Andrew Lui, berkata langkah Malaysia membangunkan kapasiti AI, FinTech Islam dan perdagangan rentas sempadan menyediakan peluang kepada syarikat teknologi tempatan untuk memperluas operasi ke pasaran antarabangsa.
Pengembangan mampan memerlukan pematuhan kawal selia kukuh, justeru gabungan pelesenan, pengurusan sijil digital automatik, pemantauan transaksi dan AI perundangan disasarkan membantu syarikat memasuki pasaran dengan cekap serta meningkatkan keyakinan institusi.
Regtitude menjangkakan hubungan lebih rapat antara ekosistem FinTech dan digital Asia Tenggara dengan infrastruktur kewangan Hong Kong serta pangkalan pengguna tanah besar China berpotensi merancakkan perdagangan teknologi rentas sempadan di Asia Pasifik. - DagangNews.com





