LPPSA dan KPKT Meterai MoU untuk Kongsi Maklumat Pemaju Berlesen bagi Pembiayaan Rumah Awam

8 Dec 2025 • 11:36 AM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

image is not available

Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) bersama Kementerian Perumahan Dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi Perkongsian Maklumat Dalam Bidang Pemaju Perumahan Berlesen Untuk Pembiayaan Perumahan Sektor Awam.

Perkongsian maklumat ini melalui projek integrasi sistem Loan Management System (LMS), LPPSA dengan Housing Integrated Management System (HIMS), KPKT yang pertama kali seumpamanya akan membantu mempercepatkan proses kerja antara kedua-dua agensi melalui capaian terus maklumat pemaju, projek hartanah, status projek dan lain-lain maklumat berkaitan pemajuan yang dibekalkan kepada LPPSA dalam memproses permohonan pembiayaan penjawat awam.

Selain itu, integrasi sistem LMS-HIMS ini juga dapat mengelakkan unsur penipuan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab melalui lesen pemaju dan permit projek yang telah tamat tempoh serta manipulasi harga jualan hartanah dengan harga jualan yang didaftarkan dengan KPKT. Ini secara tidak langsung dapat menjaga kepentingan penjawat awam daripada tertipu dengan pihak yang tidak bertanggungjawab selain pengurusan risiko bagi LPPSA dan KPKT dalam memastikan rumah yang dibiayai kepada penjawat awam siap untuk diduduki.

Pada majlis itu juga, Encik Zuwardi Bin Zubir, Ketua Pegawai Operasi LPPSA, menyatakan dengan melihat kepada perkembangan pesat teknologi terkini dan proses digitalisasi melalui integrasi sistem akan membantu penjawat awam mendapatkan maklumat yang sahih dan terkini tanpa halangan pada bila-bila masa di samping dapat melancarkan dan memudahkan urusan kerja seharian serta menjimatkan masa.

Beliau menambah dengan menyokong sepenuhnya mana-mana inisiatif yang menjurus kepada digitalisasi antara LPPSA dan KPKT juga termasuk Agensi Kerajaan yang lain direalisasikan seiring dengan aspek “celik digital” serta mendukung penuh Pelan Strategik Pendigitalan Sektor Awam (PSPSA) 2021-2025 dalam memacu agenda Kerajaan Digital yang mampan ke arah membentuk masyarakat digital.