LRT percuma Laluan Shah Alam dilanjutkan sehingga 14 Ogos

31 Jul 2026 • 3:15 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

LRT Laluan Shah Alam

SHAH ALAM: Tempoh percuma perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Shah Alam sepanjang 37.8 kilometer (km) dan bas perantaranya yang bermula pada 29 Jun lalu dilanjutkan sehingga 14 Ogos ini.

Rapid KL dalam kenyataannya berkata, lanjutan tempoh tersebut dijangka memberi peluang kepada lebih ramai pengguna untuk membiasakan diri dengan sistem pengangkutan baharu itu selain sebagai kemudahan bagi mengakses Laluan Shah Alam.

“Sepanjang tempoh tersebut, orang ramai boleh menikmati perjalan secara percuma menggunakan perkhidmatan Laluan Shah Alam, termasuk perkhidmatan bas perantaranya serta kemudahan ‘Park n’ Ride’ di stesen-stesen.

“Ia sekali gus menggalakkan penggunaan pengangkutan awam sebagai pilihan utama perjalanan harian,” katanya di sini, hari ini.

Tambahnya, lanjutan tempoh percuma itu juga dijangka memberi manfaat seperti mengurangkan kos perjalanan harian, di samping meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap kecekapan dan keselesaan sistem pengangkutan awam negara.

Jun lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika melancarkan pembukaan LRT Laluan Shah Alam dilapor mengumumkan perkhidmatan secara percuma pengangkutan awam itu sehingga hari ini.

Pengangkutan awam tersebut menghubungkan dari Johan Setia di Klang hingga ke Bandar Utama di Damansara melalui 20 stesen yang turut merentasi Bandar Raya Shah Alam dan Klang.

Dalam pada itu, Rapid KL dalam kenyataan sama memaklumkan orang ramai dinasihatkan supaya mematuhi segala peraturan dan garis panduan ditetapkan dalam merancang perjalanan bagi memastikannya berjalan dengan lancar.

“Sepanjang tempoh perjalanan percuma, ribuan pengguna sudah menikmati pengalaman yang lebih mudah, pantas dan selesa. Sokongan anda amat kami hargai,” ujarnya. – UTUSAN

The post LRT percuma Laluan Shah Alam dilanjutkan sehingga 14 Ogos appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved