KUALA LUMPUR – Kejayaan merealisasikan projek Laluan LRT3 Shah Alam disifatkan sebagai hasil kesinambungan dasar dan kerjasama merentasi beberapa pentadbiran, bukannya kejayaan mana-mana individu atau pihak tertentu semata-mata.
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah, projek pengangkutan awam itu berjaya disiapkan selepas melalui pelbagai cabaran termasuk kelewatan akibat pertukaran kerajaan, semakan semula skop projek serta pandemik COVID-19, namun akhirnya dapat direalisasikan demi kepentingan rakyat Selangor.
“Beta tidak mahu lagi ada mana-mana pihak tertentu mengambil kesempatan untuk mendakwa bahawa kejayaan pelaksanaan LRT3 ini adalah hasil usaha mereka semata-mata. Hakikatnya, projek ini merupakan hasil kesinambungan perancangan, komitmen dan kerjasama pelbagai pihak merentasi beberapa pentadbiran demi kepentingan rakyat Selangor secara keseluruhannya,” titah baginda dalam satu perutusan sempena kejayaan pelaksanaan projek Laluan LRT3 Shah Alam hari ini.
Sultan Sharafuddin turut merakamkan penghargaan kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib kerana menerima cadangan baginda pada tahun 2015 untuk membina laluan rel yang menghubungkan Klang, Shah Alam dan Kuala Lumpur.
Menurut baginda, cadangan itu dikemukakan susulan pelbagai aduan yang diterima daripada rakyat, khususnya suri rumah yang mengeluhkan suami mereka sering pulang lewat akibat kesesakan teruk di Lebuhraya Persekutuan.
Baginda turut mengimbas tindakan pentadbiran ketika itu yang memansuhkan Plaza Tol Batu Tiga dan Plaza Tol Sungai Rasau pada 2018 sebagai langkah segera mengurangkan kesesakan lalu lintas.
Namun, baginda bertitah projek berkenaan mengalami kelewatan lebih 18 bulan selepas pertukaran kerajaan pada 2018, sebelum tertangguh lagi selama 19 bulan akibat pandemik COVID-19.
Sultan Sharafuddin turut menyentuh keputusan Kementerian Kewangan ketika diterajui Lim Guan Eng bersama penasihatnya, Tony Phua, yang mengecilkan skop projek atas alasan kos, termasuk mengurangkan saiz stesen, bilangan gerabak serta membatalkan lima stesen yang dicadangkan.
“Beta ingin tegaskan bahawa ini bukan projek mega dan bukan projek untuk bermegah-megah, tetapi ianya projek untuk kepentingan dan kesejahteraan rakyat Beta,” titah baginda.
Bagaimanapun, baginda menzahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang meneruskan projek berkenaan selepas mengambil alih pentadbiran negara.
Menurut baginda, kerajaan di bawah pimpinan Anwar bersetuju mengembalikan lima stesen yang sebelum ini dibatalkan selain merancang pembinaan rumah mampu milik di sekitar kawasan stesen dan jajaran LRT3 bagi memberi manfaat lebih besar kepada rakyat.
“Beliau juga telah mengarahkan agar tiada lagi sebarang halangan yang perlu dilayan daripada mana-mana pihak berkaitan dengan projek ini. Terima kasih dan syabas Beta ucapkan kepada YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim,” titah baginda.
Dalam pada itu, Sultan Selangor berharap LRT3 mampu mengurangkan jumlah kenderaan di jalan raya selain menyediakan pilihan perjalanan yang lebih pantas, selesa dan selamat khususnya kepada penduduk Klang dan Shah Alam yang bekerja di Kuala Lumpur.
Baginda turut berharap pihak Prasarana Malaysia Berhad memastikan penyelenggaraan laluan itu dilaksanakan secara berkala supaya operasi perkhidmatan sentiasa berada pada tahap terbaik.
Sultan Sharafuddin berharap kemudahan infrastruktur LRT3 akan menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi, meningkatkan kualiti hidup rakyat serta mengukuhkan hubungan antara Kuala Lumpur, Petaling Jaya, Shah Alam dan Klang sebagai nadi utama pertumbuhan negara.






