LRT3: Sultan Selangor Zahirkan Penghargaan Kepada Najib, Ucap Terima Kasih Kepada Anwar

LocalPolitics
1 Jul 2026 • 3:58 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

LRT3: Sultan Selangor Zahirkan Penghargaan Kepada Najib, Ucap Terima Kasih Kepada Anwar

LRT3: Sultan Selangor Zahirkan Penghargaan Kepada Najib, Ucap Terima Kasih Kepada Anwar 

Pembukaan Laluan Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) Shah Alam disifatkan sebagai satu kejayaan besar yang akhirnya memberi manfaat langsung kepada rakyat, khususnya penduduk di Shah Alam, Klang dan kawasan sekitarnya.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah, projek itu direalisasikan hasil kesinambungan perancangan serta kerjasama merentasi beberapa pentadbiran demi kepentingan rakyat.

Menurut baginda, cadangan pembinaan laluan rel yang menghubungkan Klang, Shah Alam dan Kuala Lumpur itu mula disuarakan kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada tahun 2015.

Titah baginda, ketika itu Najib menerima cadangan tersebut tanpa ragu selepas baginda menyuarakan keperluan mendesak rakyat yang berdepan kesesakan trafik teruk, terutama di Lebuhraya Persekutuan.

“Beta ingin memberi penghargaan kepada bekas Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak kerana mendengar titah Beta agar satu kemudahan pengangkutan rel dibina menghubungkan Klang, Shah Alam dan Kuala Lumpur.

“Beta masih ingat, semasa satu majlis berbuka puasa di rumah beliau pada tahun 2015, Beta telah memaklumkan mengenai keperluan satu kemudahan pengangkutan rel dibina bagi menghubungkan Klang, Shah Alam dan Kuala Lumpur.

Baca juga:

“Ia susulan banyak surat yang Beta terima daripada suri rumah mengenai suami mereka yang kerap pulang lewat akibat kesesakan jalan raya,” titah baginda dalam satu kenyataan di Facebook rasmi hari ini.

Baginda bertitah, ketika itu Klang hanya mempunyai dua jambatan yang merentasi Sungai Klang, sekali gus menjadikan masalah kesesakan lebih buruk terutama pada waktu puncak.

Sebagai langkah awal, menurut baginda, pentadbiran Najib ketika itu turut memansuhkan Plaza Tol Batu Tiga dan Plaza Tol Sungai Rasau pada tahun 2018 bagi membantu mengurangkan kesesakan.

Namun, baginda bertitah projek LRT3 mengalami kelewatan lebih 18 bulan selepas pertukaran kerajaan pada tahun 2018, selain tambahan 19 bulan lagi akibat pandemik Covid-19.

“Ketika itu, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng bersama penasihatnya Tony Phua telah mengecilkan kos pelaburan untuk projek ini atas alasan kononnya ini merupakan projek mega sedangkan mereka tidak memahami tujuan pembinaan projek LRT3 ini demi memenuhi kehendak dan keperluan rakyat.

“Beta ingin tegaskan, ini bukan projek mega dan bukan projek untuk bermegah-megah, tetapi projek untuk kepentingan dan kesejahteraan rakyat Beta,” titah baginda.

Bagaimanapun, Sultan Selangor berkata, selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil alih pentadbiran negara, projek itu diteruskan semula termasuk mengembalikan lima stesen yang dibatalkan sebelum ini.

Perdana Menteri turut bersetuju untuk membina rumah mampu milik di sekitar laluan LRT3 bagi menambah kemudahan kepada rakyat.

“Beliau juga telah mengarahkan agar tiada lagi sebarang halangan yang perlu dilayan daripada mana-mana pihak berkaitan dengan projek ini. 

“Terima kasih dan syabas Beta ucapkan kepada YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

“Beta berharap pembukaan LRT3 ini mampu mengurangkan jumlah kenderaan di jalan raya selain memberi pilihan perjalanan yang lebih pantas, selesa dan selamat kepada rakyat,” titah baginda.

Baginda turut berharap Prasarana Malaysia Berhad dapat memastikan penyelenggaraan laluan itu dilakukan dengan baik agar operasinya berjalan lancar dan sempurna.

Dalam pada itu, baginda menegaskan kejayaan pelaksanaan LRT3 bukan hasil usaha satu pihak semata-mata, sebaliknya hasil kesinambungan pelbagai pihak yang meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved