
KUALA KANGSAR – Meskipun gagal menembusi kelompok podium, pakar pecut Malaysia Pro Cycling (MPC), Mohamad Izzat Hilmi Abdul Halil tetap berbangga dengan kayuhannya selepas keberanian mengambil risiko dalam perebutan kelompok hadapan berjaya menamatka saingan di tempat kelima pada Peringkat 3 Le Tour de Langkawi 2026 (LTdL26), hari ini.
Pelumba kelahiran Batu Pahat, Johor itu turut dinobatkan sebagai Pelumba Terbaik Malaysia selepas berjaya menempatkan diri dalam kelompok hadapan pada penamat beramai-ramai selepas mengharungi laluan sejauh 189.7 kilometer (km) dari Sungai Petani ke Kuala Kangsar.
Izzat mengakui bukan tugas mudah untuk menyelit ke kelompok hadapan, terutama ketika perebutan untuk mencipta kemenangan pada 100 meter terakhir.
Katanya, dia terpaksa membuat keputusan pantas dengan mengambil risiko kerana ruang yang ada amat terhad.
“Syukur Alhamdulillah semua rakan sepasukan selamat. Memang banyak cabaran untuk masuk ke zon pecutan tadi.
“Saya sudah buat yang terbaik, tetapi ia juga bergantung kepada nasib dan ruang yang ada. Kalau kita nekad masuk juga, risikonya antara jatuh atau selamat.
“Saya terpaksa beri segalanya dan bersyukur akhirnya berjaya meraih tempat kelima,” katanya selepas perlumbaan.
Mengulas peluang untuk menembusi podium, Izzat mengakui jentera MPC masih mempunyai kekurangan dari segi pelumba lead-out yang mampu membawanya ke posisi terbaik ketika penghujung perlumbaan.
Menurutnya, pasukan gergasi seperti XDS Astana Team mempunyai kelebihan apabila memiliki pelumba berfizikal besar yang mampu mengawal kelompok dan membuka ruang kepada pakar pecut mereka.
“Paling penting sebenarnya kita perlukan pacer. Pasukan seperti Astana ada jentera yang baik di bahagian depan untuk membantu membawa saya ke depan.
“Saya agak kekurangan di situ. Tetapi saya faham saiz fizikal rakan sepasukan saya agak kecil dan tidak boleh dipaksa untuk bersaing dengan pelumba luar negara yang lebih besar. Apapun, saya tetap berterima kasih atas bantuan mereka dan ini cabaran yang perlu saya tempuh,” katanya.
Selepas tiga peringkat, Izzat kini perlu mengalihkan fokus kepada dua laluan berbukit pada Peringkat 4 dan 5 yang bakal menguji kekuatan peloton di Cameron Highlands dan Genting Highlands.
Menyedari cabaran berkenaan bukan medan terbaik buat pakar pecut, Izzat mahu memastikan dirinya mampu bertahan sebelum kembali memburu peluang podium pada peringkat seterusnya. -KOSMO! ONLINE
The post LTdL 26: Izzat puas hati tembus kelompok lima teratas appeared first on Kosmo Online.

