
PELUMBA muda Sepanyol, Nil Gimeno Ferrer mencipta sejarah apabila melakar kemenangan profesional pertamanya selepas mengungguli Peringkat 7 Le Tour de Langkawi 2026 (LTdL26) dari Melaka ke Batu Pahat, semalam.
Kemenangan sensasi pelumba Equipo Kern Pharma itu hadir menerusi percaturan berani kelompok empat pelumba yang berjaya menjarakkan melakukan breakaway daripada kelompok utama sejak 60 kilometer (km) terakhir, sekali gus menafikan ramalan penamat secara pecutan beramai-ramai (bunch sprint) pada peringkat kali ini.
Gimeno melintasi garisan penamat saingan sejauh 156.9km itu dengan catatan masa 3 jam 12 minit 33 saat (3:12:33s), hasil pecutan bertenaga yang dilancarkannya pada baki 200 meter terakhir.
Pelumba muda itu menewaskan rakan senegaranya dari Burgos-Burpellet-BH, Mario Aparicio Muñoz di tempat kedua, manakala wakil Wheeltop Rotor Chengdu Team, Andrei Stepanov melengkapkan podium di tempat ketiga menerusi catatan masa yang sama.
Pakar pendaki Terengganu Cycling Team (TSG), Adne Van Engelen yang turut berada dalam kelompok breakaway berkenaan terpaksa akur di tempat keempat, sementara kelompok besar (peloton) yang diketuai Matteo Malucelli (XDS Astana) tiba 33 saat kemudian.
Mengulas detik bersejarah itu, Gimeno mengakui kejayaan menawan laluan landai tersebut sukar dipercayai kerana profil perlumbaan lazimnya memihak kepada kelompok pakar pecut dunia.
“Sejujurnya, saya sendiri menyangka perlumbaan ini akan berakhir dengan penamat kelompok beramai-ramai. Namun, apabila memasuki baki 60km, kami berempat bersepakat mengerah sehabis tenaga dan semua pelumba memberikan kerjasama yang luar biasa.
“Saya tahu rakan dalam kelompok itu laju, tetapi saya sangat yakin dengan kemampuan pecutan saya. Saya hanya mengekori rapat sebelum mula memecut pada baki 200 hingga 150 meter terakhir. Memasuki satu kilometer terakhir, saya katakan pada diri sendiri bahawa hari ini mesti menjadi milik saya,” katanya ketika ditemui selepas perlumbaan.
Sementara itu, Jersi Jingga selaku pendahulu klasifikasi keseluruhan (GC) kekal dalam genggaman pelumba Tudor Pro Cycling Team, Lennart Jasch dengan catatan masa terkumpul 24 jam 51 minit 45 saat.
Jersi Biru (Raja Pecut) pula kekal menjadi milik Matteo Malucelli (XDS Astana) dengan 50 mata, manakala Jersi Putih (Pelumba Terbaik Asia) terus dikuasai pelumba Aisan Racing Team, Yuhi Todome (24:59:06).
Tirai saingan edisi ke-30 LTdL 2026 akan dilabuhkan secara rasmi hari ini menerusi Peringkat 8 sejauh 188.3km dari Dataran Tanjung Emas, Muar menuju ke garisan penamat di Presint 3, Putrajaya.
The post LTdL26: Gimeno nikmati tuah bumi Malaysia appeared first on Kosmo Online.






