LTdL 26: Pickrell tamat badi naib juara, tawan Rembau

2 Oct 2026 • 1:55 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: LTdL 26: Pickrell tamat badi naib juara, tawan Rembau

REMBAU – Selepas dua kali dikecewakan di tempat kedua, pakar pecut Modern Adventure Pro Cycling, Riley Pickrell akhirnya menamatkan badi apabila mengungguli Peringkat 6 Le Tour de Langkawi 2026 (LTdL26) dari Pandan Indah ke Rembau, sebentar tadi.

Pelumba berusia 25 tahun dari Kanada itu yang baru menyertai pasukan profesional dari Amerika Syarikat tahun ini tersebut mempamerkan kayuhan bertenaga di laluan penamat berbukit untuk menamatkan saingan sejauh 121.3 kilometer (km) tersebut dengan catatan masa 2 jam 40 minit 6 saat (s).

Lebih manis, kejayaan itu menyaksikan Pickrell berjaya melunaskan dendamnya ke atas penyarung Jersi Raja Pecut dari XDS Astana Team, Matteo Malucelli yang terpaksa akur di tempat kedua, manakala pelumba Tudor Pro Cycling Team, Seppe Van Den Boer menduduki tempat ketiga menerusi catatan masa yang sama.

Kemenangan itu hadir tepat pada masanya selepas Pickrell sebelum ini sekadar berpuas hati bergelar naib juara di belakang Malucelli pada Peringkat 1 (Kampar) dan Peringkat 3 (Kuala Kangsar), selain berjaya membuktikan ketahanan fizikalnya melepasi zon pendakian berstatus Hors di Gunung Jerai, Cameron Highlands dan Genting Highlands.

Pickrell menegaskan kejayaan bermakna ini adalah hasil kebijaksanaan percaturan taktikal rakan sepasukannya yang berjaya ‘memerangkap’ pasukan lawan sejak awal perlumbaan.

“Satu-satunya sebab saya menang hari ini adalah kerana rakan sepasukan meletakkan saya di posisi yang jauh lebih baik berbanding Malucelli. Rakan saya Kieran (Haug) menyertai kelompok breakaway dan tindakan itu memaksa Astana mengerah tenaga mengejar seawal kilometer ke-10.

“Sementara mereka keletihan, saya dan rakan lain dapat berehat serta menyimpan tenaga dalam kelompok besar (peloton). Menjelang 300 meter terakhir, kami sedar posisi adalah kunci utama.

“Saya bimbang terperangkap di sebelah kanan apabila melihat Astana mula naik di sebelah kiri sementara pelumba Tudor berada di sisi saya. Namun, kayuhan  bertenaga rakan saya, Scott (McGill) berjaya membawa saya melepasi selekoh dan membuka ruang pecutan yang bersih ke garisan penamat,” jelasnya.

Image from: LTdL 26: Pickrell tamat badi naib juara, tawan Rembau
PAKAR pecut Modern Adventure Pro Cycling, Riley Pickrell (tengah) meraikan kemenangan Peringkat 6 Le Tour de Langkawi 2026 (LTdL26) dari Pandan Indah ke Rembau, sebentar tadi. – ISKANDAR ISHAK

Menyentuh mengenai persaingannya dengan Malucelli, Pickrell tidak menyembunyikan rasa hormatnya terhadap jaguh pecut Itali berkenaan.

“Saya amat menghormati Malucelli dan persaingan sentiasa sengit. Jika dia tiada di sini, kemenangan ini mungkin kurang bermakna kerana dia adalah seorang pakar pecut yang hebat,” katanya.

Menjelang baki dua peringkat penutup yang berprofil landai, Pickrell sedar cabaran getir menantinya namun tetap optimis untuk meneruskan momentum kemenangan.

“Dua peringkat terakhir mungkin lebih memihak kepada karakter Malucelli, tetapi selepas mengharungi jarak perlumbaan yang panjang dan faktor keletihan mula dirasai setiap pelumba, apa-apa sahaja boleh berlaku,” ujarnya.

Dalam perkembangan sama, Lennart Jasch daripada Tudor Pro Cycling terus menguasai Jersi Jingga selepas enam peringkat dengan catatan keseluruhan 21:38:39s, diikuti Jan Castellon (Caja Rural-Seguros RGA) 42s di belakang dan Jose Manuel Diaz (Burgos Burpellet BH) pada 1:20s.

Lebih manis, Jasch turut kekal menyarung jersi Raja Bukit dengan mengumpul 45 mata, diikuti Petr Rikunov (Wheeltop Rotor Chengdu Team) 41 mata dan Castellon 26 mata. Bagi Jersi Biru (Raja Pecut), Malucelli kini mendahului dengan 44 mata, hanya lima mata di depan Pickrell (39), manakala Van den Boer ketiga dengan 20 mata.

Bagi Jersi Putih (Terbaik Asia), Yuhi Todome dari Aisan Racing Team berada di kedudukan pertama (21:46:00s), diikuti pelumba St George Continental Team, Tsen Ren Bao (21:49:44s), manakala adiknya yang mewakili skuad kebangsaan Tsen Ren Han di kedudukan ketiga (21:51:25s).

Peringkat 7 esok akan bermula dari Dataran Pahlawan, Melaka ke Batu Pahat itu akan membabitkan pertempuran sejauh 158.9km dengan menawarkan tiga zon pecutan di Tangkak, Bukit Kepong dan Parit Sulong. -KOSMO! ONLINE

The post LTdL 26: Pickrell tamat badi naib juara, tawan Rembau appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved