
Luahan hati personaliti media sosial, Aisyah Hijanah selepas suaminya, Aliff Teega mendedahkan sudah berkahwin kali kedua membuatkan netizen sebak.
Netizen menyifatkan nukilan Aisyah itu sebagai satu luahan ikhlas dan tenang seorang wanita menerima keputusan nekad dilakukan oleh suami.
Dalam coretan itu, Aisyah menyatakan bahawa suami adalah pinjaman Allah dan dirinya juga tidak menyangka dia merupakan insan terpilih untuk melalui dugaan seperti ini.
“Pernah dengar tak ‘pinjaman Allah'? Daripada kecil Aisyah banyak membesar sendiri dan berdikari. Ayah Aisyah meninggal waktu Aisyah kecil sangat dan umi memang banyak berkorban untuk besarkan Aisyah dan adik sehinggalah sekarang.
“Pada hari saya berkahwin (25/11/2017), saya berikan seluruh hati saya pada lelaki ini dan ingat dia akan menjadi milik saya selamanya.
“Allah pinjamkan lelaki ini selama 6 tahun, Allah pinjamkan lelaki yang banyak berkorban, beri kebahagiaan, mendidik dengan cara baik, diberikan syurga dunia untuk Aisyah,” coretnya.
Bagaimanapun kata Aisyah, dia menerima segala ketentuan dan cuba berdamai dengan takdir yang telah ditetapkan.
“Melalui dia, Aisyah banyak belajar mengenal hidup dan Tuhan. Kesedihan kehilangan seorang bapa diganti dengan seorang lelaki yang hebat.
“Saya tidak percaya dengan konsep 'pinjaman Allah' kerana saya ingat Allah telah menghadiahkan dia kepada saya selamanya, milik saya.
“Allah telah memilih saya untuk berdepan dengan jalan ini. Lelaki ini bukan hanya kepunyaan saya, sekarang dia adalah milk wanita lain juga.
“Tujuan kami maklumkan perkara ini supaya tiada timbul fitnah kepada suami saya. Semuanya hanyalah sementara.
“Ya, suami kita adalah pinjaman Allah dan Allah akan memberikan hanya yang terbaik. Biarlah Allah yang menentukan segalanya,” coretnya.



