
Saudara Pengarang,
Menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16 (PRU16) kelak, terdapat satu simbol politik yang tidak boleh dipandang ringan daripada perkembangan UMNO dan Pas kebelakangan ini.
Di mana Pas hadir ke Perhimpunan Agung UMNO, manakala UMNO pula hadir ke Muktamar Pas. Dalam politik, kehadiran mungkin sekadar protokol.
Di Johor, BN menang 48 daripada 56 kerusi DUN, manakala PH memperoleh lapan kerusi. Di Negeri Sembilan pula, BN memenangi 18 kerusi dan PN memenangi tujuh kerusi, membolehkan kedua-duanya membentuk kerajaan bersama.
Dua negeri ini memberikan satu pelajaran strategik kepada UMNO dan Pas apabila pertembungan sesama sendiri dapat dikurangkan, peluang untuk menguasai lebih banyak kerusi menjadi lebih besar. Ini sepatutnya diberi perhatian oleh PH menjelang PRU16.
Jika formula sedemikian diterjemahkan ke peringkat Parlimen, persaingan tiga penjuru yang selama ini wujud di banyak kawasan boleh berubah menjadi pertandingan yang lebih terarah.
Namun, kerjasama UMNO-Pas juga mempunyai satu paradoks besar di mana siapakah yang sebenarnya lebih memerlukan siapa?
UMNO memerlukan Pas untuk mengelakkan pertembungan dan mendapatkan semula sebahagian sokongan Melayu. Pas pula memerlukan UMNO untuk memperluaskan capaian di kawasan yang mempunyai sejarah pengaruh UMNO yang lebih kukuh.
Pada PRU15, Pas memenangi 43 kerusi Parlimen berbanding 26 kerusi UMNO. Secara keseluruhan, PH memenangi 82 kerusi, PN 74 dan BN 30.
Justeru, kerjasama ini tidak semestinya bermakna UMNO kembali menjadi ‘abang besar’ dalam politik Melayu. Sebaliknya, Pas mungkin mempunyai kuasa tawar-menawar yang lebih besar berbanding ketika Muafakat Nasional dibentuk.
Dilema PH ialah mencari titik keseimbangan antara mengekalkan identiti dan kekuatan terasnya dengan keperluan memperluas jaringan politik.
Jika terlalu bergantung kepada rakan sedia ada, ruangnya mungkin terbatas. Jika terlalu agresif mencari rakan baharu, ia pula boleh menimbulkan persoalan mengenai identiti dan hala tuju gabungan. Peluang PH untuk memenangi PRU16 masih terbuka.
Keputusan PRN Negeri Sembilan sendiri menunjukkan bahawa PH masih mempunyai sokongan yang signifikan, termasuk 11 kerusi dan lebih 40 peratus undi popular negeri.
Justeru, terlalu awal untuk menganggap UMNO-Pas sudah membentuk formula kemenangan. Begitu juga terlalu awal untuk menganggap PH telah kehilangan peluang.
Jika UMNO dan Pas berjaya menyelesaikan persoalan pembahagian kerusi dan kepimpinan, pertandingan PRU16 mungkin tidak lagi menyerupai konfigurasi PRU15.
Sebaliknya, PH perlu memikirkan semula strategi koalisi dan bagaimana memperluas daya tarikan tanpa kehilangan asas sokongan sedia ada. Jika benar UMNO-Pas bergabung, konflik akan bermula dengan agihan kerusi dan siapa Perdana Menteri. Dalam aspek pemilihan Perdana Menteri, ia memerlukan sokongan penuh majoriti oleh Ahli Parlimen dan perkenan Yang Di-Pertuan Agong.
UMNO dan Pas harus bersetuju perkara ini lebih awal untuk memilih siapakah ‘PM in waiting’ bagi pakatan mereka.
Dan di situlah drama sebenar PRU16 sedang bermula. Namun begitu, memahami politik Melayu, kita tidak boleh mempunyai dua nakhoda dalam satu bahtera. Satu bahtera untuk satu nak nakhoda sahaja. Maka, siapakah yang akan menjadi nakhoda itu?
Bukan sekadar siapa mampu mengumpulkan undi paling banyak, tetapi siapa mampu membina koalisi yang paling sesuai dengan sentimen pengundi ketika pilihan raya yang akan benar-benar tiba.
Luthfi Yusri
Pegawai Penyelidik Nusantara Academy for Strategic Research (NASR)
The post Luahan Pembaca: UMNO dan Pas: Siapa Nakhoda? appeared first on Kosmo Online.






