GUA MUSANG - Laluan Persekutuan FT08 di Jalan Gua Musang-Kota Bharu berhampiran Taman Rekreasi Kesedar di sini ditutup kepada semua kenderaan hari ini susulan kejadian lubang benam sedalam kira-kira lapan meter.
Kejadian dilaporkan pada 9.05 pagi tadi melibatkan kawasan sepanjang kira-kira sembilan meter di Seksyen 205.556 hingga 205.564, membabitkan jajaran projek Lingkaran Tengah Utama (LTU) Pakej 3B dan 3C.
Menurut laporan Jabatan Kerja Raya (JKR) Gua Musang dan Roadcare (M) Sdn Bhd, penutupan dilaksanakan bagi menjamin keselamatan pengguna jalan raya sementara tindakan lanjut diambil.
Pengguna jalan raya dinasihatkan menggunakan laluan alternatif melalui FT2747, iaitu Jalan Pulai ke Bandar Baharu Gua Musang.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Sik Choon Foo ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan menasihati pengguna jalan raya supaya mematuhi arahan pihak berkuasa. - Bernama






