Luckin Coffee lancar stor flagship, jualan trak bergerak di Genting Highlands

LocalBusiness & Finance
12 Dec 2025 • 12:42 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Luckin Coffee lancar stor flagship, jualan trak bergerak di Genting Highlands
image is not available
liza12/12/2025 - 12:42 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 12 Dis – Luckin Coffee Malaysia memperluas kehadirannya di negara ini dengan membuka stor flagship pertamanya di SkyAvenue, Resorts World Genting serta melancarkan Luckin Coffee Mobile Truck untuk membawa pengalaman jenama terus kepada komuniti.

 

Langkah strategik ini merupakan sebahagian daripada usaha jenama kopi antarabangsa itu untuk meningkatkan penglibatan pelanggan melalui pengalaman jenama yang holistik.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Luckin Coffee Malaysia, Dr. Jeff Lim berkata, 2025 merupakan tahun penting bagi mereka kerana memberi tumpuan kepada pengembangan rangkaian dan inovasi pengalaman pelanggan.

 

“Matlamat kami adalah membina ekosistem bersepadu yang menawarkan kualiti, serta akses yang mudah kepada pelanggan di mana sahaja mereka berada,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Premis yang berkeluasan 2,084 kaki persegi di SkyAvenue itu direka berkonsep taman tema, dengan ciri unik seperti ruang tempat duduk “Luckin” bersaiz besar, bar kopi Merry-Go-Round, zon tempat duduk bertema roller coaster, dan “Charge Your Luck” Zone interaktif.

 

Ia bakal memberikan pengalaman baharu yang istimewa kepada pelanggan dengan menawarkan persekitaran moden, bertenaga, dan imersif.

 

Sempena pelancaran, Luckin Coffee memperkenalkan Grape Cloud Frappe eksklusif Genting, minuman berperisa anggur yang berkrim dan menyegarkan, hanya tersedia di cawangan Genting Highlands bermula 6 Disember 2025.

 

Kehadiran Luckin Coffee di Genting Highlands kini merangkumi tiga cawangan: pick-and-go di Highlands Hotel, Antara Genting Relaxed Store, dan stor flagship ikonik di SkyAvenue.

 

Strategi ini bertujuan melengkapkan pengalaman pelancongan pengunjung di Genting Highlands.

 

Selain stor fizikal, Luckin Coffee Malaysia turut mempunyai kafe bergerak untuk meningkatkan keterlihatan jenama dan menyediakan akses kopi mudah di festival, kawasan kejiranan, universiti, hab gaya hidup dan acara komuniti.

 

Beliau berkata, trak mudah alih ini menampilkan menu utama jenama dan berfungsi sebagai platform strategik untuk menarik pelanggan baharu, meningkatkan percubaan produk, serta mengukuhkan kehadiran jenama di lokasi tumpuan tinggi.

 

“Dengan pendekatan bersepadu ini, kami dapat menjangkau kumpulan pelanggan yang lebih luas, membina kesetiaan jenama, dan meningkatkan nilai jenama melalui pengalaman runcit yang menyeluruh dan imersif,” katanya.

 

Luckin Coffee Malaysia mensasarkan pengembangan pesat menjelang akhir 2025, selari dengan fokus strategik untuk memperkasa cawangan berprestasi tinggi, meningkatkan aksesibiliti, dan membina kehadiran nasional yang lebih kukuh. - DagangNews.com

Terkini standard