Lucut Hak Mengundi Ahli, Exco MCA Langgar Prinsip Demokrasi, Amalkan Nepotisme - SCA

LocalPolitics
23 Apr 2025 • 5:58 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Masa depan kriket negara dipercayai dalam bahaya angkara beberapa individu tertentu - Gambar Vecteezy

KUALA LUMPUR - Tindakan exco Persatuan Kriket Malaysia (MCA) melucutkan hak mengundi Persatuan Kriket Sabah (SCA) jelas melanggar prinsip demokrasi. 

Menerusi surat yang diterima Getaran, seorang exco SCA berkata, ia jelas satu perbuatan mengejutkan dan menggambarkan unsur nepotisme.

Menurut beliau, senario berkenaan berpotensi membahayakan kesinambungan dan kemajuan sukan kriket negara.

"Sebagai Ahli EXCO kepada sebuah Ahli Gabungan Penuh Negeri, saya amat terkejut dan kecewa dengan keputusan MCA yang melucutkan hak mengundi ahli kami bagi Mesyuarat Agung Dwi-Tahunan (BGM) 2025, walaupun yuran gabungan telah dibayar. 

“Kelewatan tersebut tidak disengajakan dan tiada surat tunjuk sebab dikeluarkan atau sebarang proses tatatertib dijalankan seperti yang digariskan dalam Perlembagaan MCA,” katanya.

Jelas exco terbabit, barisan Exco MCA dilihat bertindak secara terpilih walaupun wujud preceden dahuluan,  seperti kes melibatkan sebuah Ahli Gabungan Penuh Negeri pada 2021 yang tetap dibenarkan mengundi. 

Beliau mendedahkan, terdapat calon yang dicalonkan tanpa merit, kredibiliti atau pengalaman mentadbir kriket, malah ada yang sama sekali tidak pernah terlibat di peringkat negeri atau kebangsaan. 

“Masih ramai individu berkelayakan, berpengalaman luas serta sedang aktif mentadbir dan membangunkan kriket, tetapi telah diketepikan. 

“Sukar untuk percaya Encik Mahinda Vallipuram, tokoh dihormati dan Pengarah ICC, membenarkan perkara ini,” katanya, sinis.

Mengulas lanjut beliau berkata, Mahinda baru sahaja dilantik ke dalam Exco MCA pada Mesyuarat Majlis, 13 April lalu bagi mengisi kekosongan akibat perletakan jawatan ahli EXCO terdahulu. 

“Pelantikan ini dan tindakan menggugurkan dua Ahli Gabungan Penuh Negeri daripada hak mengundi jelas mencetuskan persoalan tentang motif dan keberpihakan menjelang BGM. 

“Kami juga tidak pasti sama ada Pejabat Pesuruhjaya Sukan Malaysia telah dimaklumkan atau sedar akan perkara ini, namun kami berharap mereka tampil dan mengambil tindakan segera demi mempertahankan integriti kriket negara,” katanya. 

image is not available
Ada individu yang dilantik sama sekali tidak pernah terlibat menguruskan perlawanan di peringkat kebangsaan atau antarabangsa - Gambar hiasan

MCA sebelum ini dicemari krisis dalaman angkara beberapa individu yang mahu merebut kuasa.

Komplot tersebut dipercayai didalangi Mahinda selaku bekas Presiden MCA yang mahu kembali memegang tampuk kepimpinan dan Naib Presiden Persatuan Kriket Sarawak, Gordon Chung.

Sumber memberitahu Getaran, Mahinda berdepan masalah untuk mengekalkan kedudukan di peringkat antarabangsa, justeru kedudukan sebagai Presiden bakal membuka ruang untuk beliau mengawal MCA secara langsung. 

“Chung juga dilaporkan telah melanggar segala etika dan menukar mesyuarat majlis menjadi perbalahan yang penuh dengan jeritan, yang akhirnya menyebabkan Presiden dan beberapa individu lain bertindak keluar. 

“Namun begitu, ada kalangan ‘orang dalam’ memberitahu, mereka yang meletak jawatan ini akan kembali pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) dan merancang untuk mendedahkan konspirasi serta semua yang terlibat,” katanya. - Getaran, 23 April 2025