
SEPANG- Selepas 10 tahun, syarikat penerbangan Jerman, Lufthansa Airlines kembali memperkukuh hubungan udara antara Kuala Lumpur dan Eropah apabila memulakan penerbangan sulung ke Lapangan Terbang Antarabangsa Lumpur (KLIA), hari ini.
Perkhidmatan lima kali seminggu ke Frankfurt menggunakan pesawat Boeing 787 Dreamliner itu, sekali gus menjadikan Lufthansa syarikat penerbangan kelima menawarkan penerbangan terus dari KLIA ke Eropah.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, kepulangan Lufthansa itu juga bertepatan dengan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026–2027 yang menyasarkan peningkatan ketibaan pelawat antarabangsa menerusi pengukuhan hubungan udara dan akses ke pasaran pelancongan utama dunia.
“Bagi pihak kerajaan Malaysia, saya ingin mengucapkan tahniah kepada Lufthansa atas pencapaian penting ini serta menghargai keyakinan berterusan syarikat penerbangan itu terhadap pasaran Malaysia.
“Perkhidmatan baharu ini mengukuhkan hubungan antara Malaysia, Jerman dan pasaran Eropah yang lebih luas, selain membuka lebih banyak peluang dalam pelancongan serta,” katanya.
Teks ucapan King Sing sempena majlis menyambut penerbangan sulung Lufthansa dari Frankfurt ke Kuala Lumpur di KLIA Terminal 1, di sini hari ini, dibacakan oleh Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Chiew Choon Man.
Katanya, Malaysia menerima 42.2 juta pelawat pada tahun lalu, meningkat 11.16 peratus berbanding tahun sebelumnya dan kita berhasrat meneruskan momentum positif itu dengan memperkukuh kehadiran dalam pasaran Eropah.
“Bagi tahun ini, bermula Januari hingga Ogos, Malaysia merekodkan 1.18 juta pelawat dari Eropah, meningkat 1.2 peratus berbanding 1.16 juta pelawat dalam tempoh sama tahun lalu.
“Jerman turut menjadi pasaran penting dengan 116,824 pelawat direkodkan dari negara itu bagi tempoh Januari hingga Ogos lalu.
“Lebih 700 syarikat Jerman juga beroperasi di Malaysia, sekali gus menjadikan hubungan udara secara terus itu penting bagi mengukuhkan hubungan perniagaan dan pertukaran antara rakyat kedua-dua negara,” ujarnya.
Sementara itu, Pengarah Urusan Malaysia Airports Holding Berhad (MAHB), Datuk Mohd. Izani Ghani berkata, KLIA merekodkan 1.1 juta penumpang bagi laluan Eropah sepanjang Januari hingga September 2026, meningkat 29.7 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.
Katanya, kedudukan KLIA sebagai lapangan terbang antarabangsa keempat paling terhubung di dunia mencerminkan kekuatan rangkaian penerbangan lapangan terbang itu.
Menurutnya, kepulangan Lufthansa yang menghubungkan KLIA dengan hab utama Eropah bakal memudahkan akses ke Malaysia dari bandar-bandar lain yang tidak mempunyai penerbangan terus ke negara ini.
“Bagi sektor perniagaan, perkhidmatan ini menyokong hubungan lebih erat dengan pelanggan dan pelabur, manakala industri pelancongan berpeluang menarik lebih ramai pengunjung dari Eropah.
“Ini merupakan hubungan yang sedang kami usahakan menerusi perkhidmatan yang mampan dari segi komersial, memperkukuh daya saing KLIA dan memberikan nilai jangka panjang kepada ekonomi Malaysia,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Lufthansa kembali ke KL, perkukuh hubungan udara KLIA, Eropah appeared first on Kosmo Online.



