
KUALA LUMPUR – Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) melaksanakan audit pengawasan ke atas organisasi penyelenggaraan Layang-Layang Aerospace dari 1 hingga 4 September iaitu beberapa hari sebelum nahas helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) terhempas di Sarawak.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, audit tahunan itu merekodkan tiga penemuan ketidakpatuhan dan tiga pemerhatian melibatkan aspek perancangan tenaga kerja, rekod pelaksanaan tugas penyelenggaraan serta dokumentasi prosedur kesinambungan operasi selepas kecemasan.
Beliau berkata, semua penemuan audit ditutup kecuali satu berkaitan kaedah pengiraan dan perancangan tenaga kerja yang masih menunggu pengesahan akhir CAAM ketika nahas berlaku.
Bagaimanapun, beliau menegaskan, penemuan itu bersifat pentadbiran dan organisasi serta tidak mempunyai kaitan langsung dengan keadaan teknikal atau sistem helikopter yang terlibat dalam nahas tersebut.
“Untuk punca kemalangan, sama ada ia mempunyai hubung kait atau tidak, sudah tentu ia memerlukan siasatan terperinci mengenai apa sebenarnya berlaku terhadap pesawat itu.
“Ia memerlukan laporan teknikal sebelum satu keputusan atau hasil penemuan muktamad diberikan,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Dr. Richard Rapu @ Aman Begri (GPS-Betong) berhubung tarikh audit keselamatan, audit pengawasan dan pemeriksaan terakhir pihak CAAM ke atas operator helikopter pascanahas di Long Lellang serta status penemuan keselamatan yang belum ditutup sebelum insiden.
Menurutnya, CAAM turut menjalankan pemeriksaan pengesahan terhadap helikopter BO105 lain dari 9 hingga 10 September lalu serta pesawat yang menggunakan enjin Rolls-Royce RR250 dari 10 hingga 12 September.
Pesawat tersebut dibenarkan kembali beroperasi selepas semua pemeriksaan dan tindakan pembetulan yang diperlukan dilaksanakan serta tahap kelayakan terbang masing-masing disahkan.
Mengenai cadangan Datuk Dr. Nik Muhammad Zawawi Salleh (PN-Pasir Puteh) berkaitan penyediaan lebih banyak kawasan pendaratan helikopter di pedalaman, Anthony berkata, kemudahan yang diluluskan atau dikenal pasti CAAM mengambil kira aspek keselamatan penerbangan.
Beliau berkata, nahas di Long Lellang berlaku di kawasan padang terbang yang mempunyai landasan untuk pesawat ringan.
Terdahulu, laporan awal siasatan nahas helikopter FDS yang mengorbankan lima nyawa termasuk empat petugas kesihatan di Long Lellang, Ulu Baram pada 8 September lalu dijangka dibentangkan kepada Jemaah Menteri esok. – Bernama
The post Nahas helikopter FDS: Audit dedah tiga ketidakpatuhan sebelum nahas appeared first on Kosmo Online.





