Lufya Omar depresi selepas cerai, bangkit dengan jual kek

14 Aug 2026 • 12:15 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Lufya Omar depresi selepas cerai, bangkit dengan jual kek

PETALING JAYA: Pelakon, Lufya Omar, 41, berkongsi pengalaman melalui perceraian enam tahun lalu yang disifatkannya sebagai antara fasa paling gelap dalam hidupnya.

Lufya atau Lutfyah Sheikh Omar berkata, hatinya hancur selepas mengetahui pasangan berlaku curang, sekali gus menyebabkan dirinya berdepan episod kemurungan yang teruk.

“Selepas perceraian enam tahun lalu, saya mengalami kemurungan. Saya menjadi gemuk kerana hanya dengan makan saya berasa gembira. Saya sangat kecewa kerana meninggalkan kerjaya dan setia sepenuhnya kepada perkahwinan, namun dibalas dengan kezaliman dan kecurangan.

“Kehidupan yang saya jalani ketika itu tidak seindah yang dicemburui ramai. Tekanan datang dari segenap sudut, kanan, kiri, atas dan bawah,” luahnya menerusi satu hantaran di media sosial.

Lantaran pengalaman itu, Lufya mengakui pintu hatinya pernah tertutup rapat untuk menerima sesiapa, sebaliknya nekad memberi tumpuan kepada usaha memperbaiki diri selain membesarkan anak tunggalnya, Laana Haura.

Bagaimanapun, usaha untuk kembali ke dunia lakonan bukan mudah apabila kebanyakan tawaran yang diterimanya ketika itu memerlukannya menanggalkan hijab.

“Saya tertekan dengan keadaan kewangan. Saya berdoa kepada Allah, ‘Ya Allah, jika keputusan membuka hijab ini Kau tidak reda, maka bantulah aku mencari rezeki yang halal. Pandaikanlah aku berniaga’.

“Saya bermonolog dengan Tuhan dan meluahkan segala-galanya. Saya beritahu Allah yang saya tidak pandai berniaga, saya cuma tahu menyanyi dan berlakon sahaja. Saya rasa hidup sudah gelap dan tidak kuat,” katanya.

Menurut Lufya, saranan ibunya supaya dia menjual kek durian milik seorang kenalan akhirnya menjadi titik perubahan dalam kehidupannya.

Walaupun pada awalnya tidak berminat dalam bidang bakeri, permintaan yang luar biasa terhadap kek berkenaan sehingga pembuat asal tidak menang tangan mendorong Lufya mempelajari cara membuat kek sendiri.

“Tiga, empat kali belajar pun saya masih tidak pandai kerana memang tidak berminat. Tetapi saya paksakan diri demi kelangsungan hidup.

“Akhirnya, saya jatuh cinta dengan dunia bakeri dan sekarang pelbagai jenis kek saya boleh buat.

“Berkat hasil jualan kek itulah saya membesarkan Laana Haura dan memperoleh banyak lagi kejayaan lain yang belum bersedia saya kongsikan,” jelasnya.

Lufya menyifatkan segala ujian yang dilaluinya sebagai proses mematangkan diri, selain bersyukur kerana dikurniakan rezeki untuk menjejakkan kaki ke Tanah Suci setiap tahun.

“Allah suka hamba-Nya yang merayu dan tunduk kepada syariat-Nya. Saya mahu bahagiakan ibu dan ayah sebelum mereka pergi.

“Kini, saya mempunyai cita-cita yang lebih besar iaitu untuk membantu saudara-saudara kita di Palestin, Syria, Yaman dan negara-negara Islam yang ditindas,” katanya.

Untuk rekod, Lufya pernah bernikah bersama doktor, Dr. Che Muhammad Hafiz Che Baharum sebelum bercerai pada 17 Jun 2020.

Hasil perkahwinan tersebut, pasangan berkenaan dikurniakan seorang anak perempuan, iaitu Laana Haura. -UTUSAN

The post Lufya Omar depresi selepas cerai, bangkit dengan jual kek appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved