Lelaki maut ditetak, dilanggar: Berebut kawasan perniagaan punca dua geng kongsi gelap bergaduh

27 Aug 2026 • 1:42 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Lelaki maut ditetak, dilanggar: Berebut kawasan perniagaan punca dua geng kongsi gelap bergaduh
Shazeli (tengah) dalam sidang akhbar di IPK Selangor pada Khamis.

SHAH ALAM - Dua kumpulan kongsi gelap berebut kawasan perniagaan dipercayai motif kes pergaduhan dan tetakan hingga seorang maut di Jalan Mandolin 33/5 Taman Alam Megah di sini.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, setakat ini seramai 11 individu berusia lingkungan awal 20 hingga 30-an membabitkan dua kumpulan terbabit ditahan.

Menurutnya, lima daripada suspek telah direman tujuh hari, manakala enam lagi dalam proses permohonan reman di mahkamah.

"Kita juga telah merakam keterangan saksi-saksi kejadian serta pihak berkaitan untuk membantu siasatan.

"Berdasarkan siasatan, motif berkaitan perebutan kawasan membabitkan beberapa aktiviti perniagaan antara dua kumpulan kongsi gelap yang beroperasi di sekitar Shah Alam. Kita sedang lihat apa aspek perniagaan terbabit," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini pada Khamis.

Beliau berkata, terdapat beberapa lagi individu yang masih diburu dan telah dikenal pasti butirannya.

Tambahnya, pihak polis juga sedang menyiasat latar belakang kumpulan terbabit di mana salah satu kumpulan itu baru ditubuhkan.

"Kes pergaduhan ini menyebabkan seorang maut dan tiga masih lagi menerima rawatan di hospital," katanya yang mengesahkan kes tersebut tidak mempunyai dengan insiden kumpulan individu membakar mercun di persimpangan Jalan Hamzah Seksyen U14 di sini.

Sebelum itu, Sinar Harian melaporkan kejadian gaduh dan tetak itu berlaku kira-kira jam 2 petang, Selasa lalu di atas jalan raya.

Kejadian yang tular di media sosial itu turut memaparkan sebuah kenderaan jenis Perodua Alza berwarna biru telah melanggar salah seorang daripada suspek sehingga menyebabkan kematian ditempat kejadian.

Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Dalam kes berlainan, polis masih giat mengesan kumpulan suspek kes cubaan samun kedai emas di Jalan Tengku Kelana, Klang yang berlaku pada 20 Ogos lalu.

Kata Shazeli, siasatan masih dijalankan dan kes dipercayai membabitkan suspek warga tempatan.

"Kita telah terima beberapa petunjuk positif berdasarkan maklumat daripada orang awam. Kita percaya suspek ada perancangan dan menunggu peluang melakukannya (jenayah)," ujarnya.

 

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved