Luluh hati ibu saksi anak maut digilis treler

15 Apr 2025 • 5:41 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian di Jalan Tangga Batu, di Melaka, pada pagi Rabu.

image is not available
Remuk... keadaan motosikal mangsa yang terbabit dalam kemalangan maut itu.

MELAKA - Seorang wanita tidak dapat menahan sedih apabila anak perempuannya maut dalam keadaan menyayat hati selepas digilis sebuah treler dalam kemalangan di Jalan Tangga Batu, di sini, pada pagi Rabu.

Dalam kira-kira jam 10.45 pagi itu, mangsa Nurnie Alisya Mohamed Noor,15, yang menunggang motosikal dalam perjalanan ke gerai jualan nasi kerabunya dan wanita terbabit berada tidak jauh dari lokasi yang meragut nyawa anaknya itu.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, berdasarkan siasatan mendapati kemalangan berlaku apabila motosikal mangsa dari arah kiri jalan memotong treler dari arah Tangga Batu menghala ke Ayer Keroh.

**media[3085897]**

Menurutnya, setiba di lokasi motosikal mangsa memotong treler yang dipandu lelaki berusia 43 tahun yang berada di lorong kanan.

"Namun berlaku pelanggaran antara kedua-dua kenderaan itu hingga menyebabkan motosikal mangsa digilis kenderaan berat tersebut.

"Mangsa yang tidak lagi bersekolah disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Selasa.

Ujarnya, mayat mangsa dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka untuk proses bedah siasat dan Pol 61 telah dikeluarkan bagi mengetahui punca kematian.

"Siasatan masih dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.