johardy20/10/2026 - 09:00 Oleh JOHARDY IBRAHIM editor@dagangnews.com Selat Melaka sudah berabad-abad menjadi laluan perdagangan penting dunia. Setiap hari, kapal dagang dan kapal tangki melaluinya untuk menghubungkan pasaran Asia, Timur Tengah dan Eropah.
Bagi Perak, kedudukan di pesisir laluan perdagangan tersebut membuka peluang yang tidak boleh dipandang ringan. Lumut pula bukan asing dengan kegiatan maritim. Di sinilah terletaknya pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), selain kemudahan pelabuhan dan industri berkaitan.
Kini, menerusi pembangunan Lumut Maritime Industrial City (LuMIC), Kerajaan Negeri Perak sedang mengusahakan satu lagi sumber pertumbuhan ekonomi yang berpotensi membuka peluang kepada anak tempatan bekerja di negeri sendiri.
LuMIC merupakan inisiatif pembangunan kerajaan negeri melalui Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk), dengan kerjasama strategik Port of Antwerp-Bruges International dari Belgium. Projek ini menjadi sebahagian daripada agenda Perak Sejahtera 2030 untuk membangunkan sektor pelabuhan dan industri maritim.
Kepentingan projek negeri ini turut mendapat perhatian Kerajaan Persekutuan apabila Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyebut LuMIC secara khusus ketika membentangkan Belanjawan 2027 pada 9 Oktober lalu.
Beliau menyatakan pembangunan LuMIC akan diperhebat bagi menarik pelaburan dan mewujudkan pekerjaan. Pengiktirafan di peringkat nasional itu memberikan dorongan kepada usaha yang telah dimulakan oleh Kerajaan Negeri Perak.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, sebelum ini menjelaskan bahawa pembangunan LuMIC akan dilaksanakan secara berperingkat dalam tempoh 25 tahun, dengan potensi menarik pelaburan RM72 bilion dan mewujudkan lebih 50,000 peluang pekerjaan.
“LuMIC turut memperkukuh infrastruktur awam termasuk sistem pengangkutan dan kemudahan pendidikan, yang secara langsung meningkatkan kualiti hidup rakyat,” katanya ketika pembentangan kajian kebolehlaksanaan projek itu pada April 2025.
Bagi penduduk Lumut, Sitiawan dan Seri Manjung, angka pelaburan sebesar itu tentu menarik perhatian. Namun, persoalan yang lebih dekat dengan kehidupan mereka ialah apakah jenis pekerjaan yang bakal tersedia dan sejauh mana anak tempatan dapat merebut peluang tersebut?
Bukan semua pekerjaan memerlukan ijazah
Bayangkan seorang anak muda dari Sitiawan yang mempunyai diploma kejuruteraan mekanikal. Selama ini, dia mungkin perlu mencari pekerjaan di Pulau Pinang, Selangor atau Johor kerana peluang yang sesuai lebih banyak tersedia di sana.
Sekiranya industri pembinaan dan pembaikan kapal, kejuruteraan marin serta perkhidmatan logistik berkembang di Lumut, dia mungkin mempunyai pilihan untuk bekerja lebih dekat dengan keluarga.
Malah, industri maritim tidak hanya memerlukan jurutera. Jurukimpal, juruteknik elektrik, mekanik, pengendali mesin, penyelia keselamatan dan pekerja penyelenggaraan turut mempunyai peranan penting.
Ini bermakna lepasan sekolah yang memilih pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) juga berpotensi membina kerjaya dalam industri tersebut.
Tetapi ada satu perkara yang tidak boleh dipandang ringan.
Jangan sampai syarikat datang membuka operasi di Lumut, tetapi anak-anak tempatan sekadar melihat peluang pekerjaan itu diisi oleh tenaga kerja dari luar kerana mereka tidak mempunyai kemahiran yang diperlukan.
Sebab itu, institusi TVET di Perak perlu mengetahui lebih awal keperluan tenaga kerja syarikat yang bakal beroperasi di LuMIC. Kursus latihan, pensijilan dan penempatan industri mesti disesuaikan dengan permintaan sebenar majikan.
Kalau langkah ini dibuat dengan betul, LuMIC bukan sahaja berpotensi menyediakan pekerjaan, malah membantu anak Perak memperoleh kemahiran yang mempunyai nilai dalam pasaran kerja.
Pekerjaan baharu menghidupkan perniagaan setempat
Apabila lebih ramai penduduk mempunyai pekerjaan dan pendapatan, kesannya tidak terhenti di pintu kilang atau kawasan pelabuhan.
Sebahagian gaji mereka akan dibelanjakan di kedai makan, pasar raya, bengkel dan perniagaan sekitar Lumut serta Manjung.
Syarikat yang beroperasi pula memerlukan pengangkutan, alat ganti, penyelenggaraan, makanan dan pelbagai perkhidmatan sokongan.
Di sinilah kontraktor kecil, pengusaha pengangkutan dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan boleh mendapat peluang.
Bagaimanapun, peluang tersebut perlu dibuka secara terancang. Usahawan Perak mungkin memerlukan latihan, pensijilan dan sokongan untuk memenuhi standard pembekalan syarikat industri.
Kita tidak mahu melihat pelaburan besar masuk ke Lumut tetapi sebahagian besar kontrak dan peluang perniagaan akhirnya mengalir keluar ke negeri lain.
Pada masa sama, pertumbuhan industri mesti diimbangi dengan kemudahan perumahan, pengangkutan dan infrastruktur awam yang mencukupi. Kepentingan nelayan serta pengusaha pelancongan di Lumut dan Pulau Pangkor juga tidak boleh diketepikan.

Peluang mesti sampai kepada anak Perak
Lumut sebenarnya mempunyai asas untuk berkembang. Kawasan ini sudah lama terlibat dalam kegiatan maritim, perkhidmatan pelabuhan dan industri berkaitan kapal.
Kerjasama PKNPk dengan Port of Antwerp-Bruges International turut membuka ruang kepada perkongsian pengalaman dan kepakaran antarabangsa dalam membangunkan kawasan industri maritim.
Namun, kepakaran dan pelaburan sahaja belum menjamin anak tempatan akan mendapat pekerjaan.
Kerajaan negeri, institusi latihan dan syarikat yang bakal beroperasi perlu mempunyai hubungan kerja yang rapat supaya peluang pekerjaan dapat dikenal pasti lebih awal dan calon tempatan disediakan dengan kemahiran yang sesuai.
Perak kini turut membangunkan Automotive Hi-Tech Valley di Tanjong Malim dan Kerian Integrated Green Industrial Park di Kerian. LuMIC boleh melengkapkan usaha itu dengan menawarkan pilihan kerjaya dalam sektor maritim.
Bayangan yang paling menarik bukanlah semata-mata melihat lebih banyak kapal atau kilang di Lumut.
Lebih menarik membayangkan seorang anak muda mendapat pekerjaan yang sesuai dengan kemahirannya, menerima gaji yang membolehkannya membina kehidupan sendiri dan masih dapat pulang ke rumah ibu bapanya selepas bekerja.
Selama ini, ramai anak Perak keluar mencari rezeki kerana peluang yang mereka perlukan berada di tempat lain.
Alangkah baiknya jika suatu hari nanti, apabila anak muda Perak ditanya di mana mereka mahu bekerja, Lumut turut menjadi antara pilihan utama mereka.
Itulah peluang yang boleh dibuka oleh LuMIC. Yang penting, anak Perak mesti dipersiapkan untuk merebutnya. - DagangNews.com






