johardy01/10/2026 - 11:20 Oleh Muhammad Iman editor@dagangnews.com MIRI 1 Okt - Dayang Enterprise Holdings Berhad menerusi anak syarikat milik penuhnya, DESB Marine Services Sdn Bhd, menempah kapal kerja penyelenggaraan luar pesisir bernilai RM117.7 juta daripada Shin Yang Shipyard Sdn Bhd bagi memperkukuh keupayaan marin kumpulan.
Pembinaan kapal sepanjang 91 meter itu memasuki satu peringkat penting menerusi majlis peletakan lunas, iaitu struktur asas kapal, di limbungan Shin Yang Shipyard di Kuala Baram pada 30 September 2026.
Tempahan tersebut dibuat menerusi perjanjian jual beli yang dimeterai pada 20 Januari 2026. Harga pembelian kapal itu tidak termasuk cukai jualan dan perkhidmatan (SST).
Naib Pengerusi Eksekutif Kumpulan Shin Yang, Datuk James Ling Lu Kiong berkata, kapal itu merupakan kapal kesembilan yang dibina limbungan tersebut untuk Kumpulan Dayang sejak kerjasama mereka bermula pada 2005.
Kapal baharu yang direka untuk menempatkan sehingga 238 orang itu akan menjadi kapal kerja terbesar dalam armada Kumpulan Dayang.
Timbalan Pengerusi Eksekutif DESB yang juga pengasas Kumpulan Dayang, Datuk Ling Suk Kiong berkata, pelaburan tersebut mencerminkan komitmen syarikat untuk memperkukuh keupayaan marin serta memenuhi keperluan industri luar pesisir yang terus berkembang.
Sasar siap dan diserahkan menjelang Februari 2028
Suk Kiong berkata, sasaran projek adalah untuk menyiapkan kapal, menjalankan ujian dan pentauliahan serta menyelesaikan proses penerimaan dan penyerahan menjelang Februari 2028.
Menurutnya, kemajuan keseluruhan projek kini mencapai 10.3%, dengan pembinaan badan kapal pada tahap 4.64% dan perolehan pada 49%.
Seramai 97 orang terlibat dalam projek itu setakat 25 September 2026, manakala pemasangan jentera utama dijadualkan pada Mei 2027 sebagai peringkat penting seterusnya dalam pembinaan.
Kapal tersebut akan dilengkapi kren luar pesisir jenis pedestal berlengan kekisi dengan kapasiti 60 tan dan jejari lengan 22 meter, selain sistem tambatan empat titik.
Kerjasama lebih dua dekad
Kapal itu akan mendapat pengelasan daripada American Bureau of Shipping (ABS) serta mematuhi keperluan Kod Kapal Tujuan Khas (SPS).
Sementara itu, Lu Kiong berkata, kerjasama antara Shin Yang dan Kumpulan Dayang bermula dengan penyerahan kapal Dayang Pertama sepanjang 75 meter pada 2005.
Katanya, projek pembinaan kapal sepanjang tempoh tersebut mencerminkan hubungan kukuh yang dibangunkan kedua-dua kumpulan selama lebih dua dekad. - DagangNews.com






