liza19/10/2026 - 17:49 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 19 Okt – Lumut Naval Shipyard Sdn Bhd (LUNAS) mendakwa kelewatan penyerahan Kapal Tempur Pesisir (LCS) turut berpunca daripada urusan kontrak pelengkap di bawah tanggungjawab Kementerian Pertahanan (MINDEF) serta sekatan eksport Norway.
Dalam kenyataan hari ini, syarikat itu turut memberi amaran bahawa sasaran penyerahan fizikal kapal pertama, LCS1, pada April 2027 boleh tertangguh lagi sekiranya Perintah Perubahan kepada kontrak terus tertangguh.
LUNAS berkata, perubahan jadual penyerahan tidak wajar dilihat sebagai alasan syarikat itu semata-mata, sebaliknya perlu dinilai berdasarkan kerumitan teknikal, kawal selia dan kontrak, termasuk perkara di luar skop serta kawalan kontraknya.
Menurutnya, beberapa kontrak pelengkap yang kritikal bagi membolehkan kapal diserahkan mengikut spesifikasi tidak termasuk dalam skop sedia ada LUNAS dan perlu diberikan secara langsung oleh MINDEF kepada pembuat peralatan asal (OEM).
Kontrak tersebut melibatkan pembekalan peluru berpandu permukaan ke permukaan, peluru berpandu permukaan ke udara, peluru bagi Sistem Pelancaran Umpan Bersepadu serta peluru bagi meriam berkaliber sederhana.
LUNAS berkata, pembekalan itu penting bagi aktiviti pengujian, pentauliahan dan penerimaan yang perlu diselesaikan sebelum penyerahan kapal.
Kontrak dimuktamadkan selepas 12 bulan
Syarikat itu turut menjelaskan bahawa Surat Setuju Terima bagi pakej Sokongan Logistik Bersepadu dan Bantuan Ujian (ILS-TA) telah dikeluarkan pada Ogos 2025.
Bagaimanapun, kontrak berkenaan hanya dimuktamadkan dan ditandatangani 12 bulan kemudian, iaitu pada Ogos 2026.
Memandangkan latihan merupakan sebahagian penting daripada skop ILS-TA, LUNAS berkata, adalah tidak praktikal atau munasabah untuk menjangkakan keseluruhan program latihan diselesaikan sebelum kontrak ditandatangani.
Menurutnya, kontrak yang berkuat kuasa berserta jadual pelaksanaan penuh diperlukan sebelum LUNAS dan OEM boleh memberikan komitmen terhadap tawaran dan pelaksanaan.
Syarikat itu turut mengenal pasti pembatalan lesen eksport bagi sistem peluru berpandu permukaan ke permukaan oleh pihak berkuasa Norway sebagai antara perkembangan utama yang menjejaskan jadual penyerahan LCS1.
Susulan pembatalan itu, LUNAS berkata, peraturan kawalan eksport antarabangsa yang berkenaan, termasuk Peraturan Perdagangan Senjata Antarabangsa (ITAR), tidak lagi membenarkannya menyerahkan kapal bersama sistem pelancar peluru berpandu Norway yang telah dipasang.
Pelancar mesti dikembalikan ke Norway
Bagi mematuhi keperluan tersebut, sistem pelancar itu mesti dikeluarkan dan dikembalikan ke Norway kerana rantaian jagaan yang diwajibkan tidak boleh terputus.
LUNAS menegaskan perkembangan kawal selia itu berada di luar skop tanggungjawab kontrak asalnya, dan pihaknya telah memaklumkan secara rasmi kepada MINDEF mengenai implikasi teknikal, kos serta jadual.
Menurut syarikat itu, kerja pematuhan, pemunggahan dan pembaikan tambahan memerlukan pelarasan jadual penyerahan. Sasaran April 2027 diperlukan bagi memastikan LCS1 diserahkan dengan selamat, bertanggungjawab serta mematuhi keperluan kawal selia.
ARTIKEL BERKAITAN: Penyerahan kapal LCS 1 ditunda lagi, kini dijangka April 2027
Berhubung cadangan pengenaan Ganti Rugi Tertentu dan Ditetapkan (LAD), LUNAS berkata, sebarang penentuan tanggungjawab kontrak perlu dibuat melalui mekanisme kontrak dan perundangan yang ditetapkan.
Menurut syarikat itu, pengauditan Ketua Audit Negara dilaksanakan berdasarkan maklumat yang dikemukakan oleh MINDEF dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), dan pihaknya menghormati dapatan serta saranan dalam laporan berkenaan.
Bagaimanapun, LUNAS menegaskan laporan itu tidak seharusnya dianggap sebagai keputusan muktamad mengenai liabiliti kontrak.
Sebagai pihak dalam kontrak, syarikat itu berhak mengemukakan pendirian dan fakta sokongan melalui proses kontrak yang ditetapkan sebelum sebarang kesimpulan mengenai tanggungjawab atau liabiliti dibuat.
Tanggungjawab semua pihak perlu dinilai
LUNAS berkata, pihaknya menerima sepenuhnya akauntabiliti terhadap obligasi yang diamanahkan di bawah kontrak, tetapi penilaian mesti mengambil kira secara adil dan objektif tanggungjawab setiap pihak serta proses kontrak yang dipersetujui bersama.
Sebagai syarikat di bawah Menteri Kewangan Diperbadankan, LUNAS menegaskan komitmennya terhadap tadbir urus, integriti dan akauntabiliti, di samping melindungi hak kontraknya melalui saluran sewajarnya serta menyerahkan kapal yang selamat, berkeupayaan dan bersedia untuk misi kepada TLDM. - DagangNews.com



