LYC Healthcare kemuka rayuan elak penyahsenaraian daripada Bursa Malaysia pada 29 Oktober 2026

LocalBusiness & Finance
21 Oct 2026 • 10:20 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

LYC Healthcare kemuka rayuan elak penyahsenaraian daripada Bursa Malaysia pada 29 Oktober 2026 Image from: LYC Healthcare kemuka rayuan elak penyahsenaraian daripada Bursa Malaysia pada 29 Oktober 2026 amree21/10/2026 - 10:20 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 21 Okt – LYC Healthcare Berhad mengemukakan rayuan kepada Bursa Malaysia Securities Berhad bagi mencabar prosiding penyahsenaraian sahamnya, sekali gus menangguhkan proses penyingkiran daripada senarai rasmi bursa itu sementara menunggu keputusan rayuan.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan penyedia perkhidmatan penjagaan kesihatan itu berkata, rayuan berkenaan dikemukakan pada 20 Oktober 2026, sebelum tarikh akhir dagangan sekuritinya digantung daripada Pasaran ACE mulai 27 Oktober 2026.

 

Rayuan itu dilaksanakan selepas Bursa Malaysia mengumumkan langkah penyahsenaraian syarikat berikutan penarikan diri UOB Kay Hian (M) Sdn Bhd sebagai penaja bagi pelan pemulihan semula kewangan kumpulan berkenaan yang berstatus terjejas di bawah Nota Panduan 3 (GN3).

 

LYC Healthcare dijadualkan dinyahsenaraikan daripada Pasaran ACE pada 29 Oktober, manakala dagangan sahamnya dijadualkan digantung tiga hari sebelum itu. Bagaimanapun, penyahsenaraian itu akan ditangguhkan sementara menunggu keputusan Bursa Malaysia terhadap rayuan berkenaan.

 

"Kumpulan ini kekal komited memulihkan kedudukan kewangan dan mengekalkan status penyenaraian. Pada masa sama, sedang berusaha mendapatkan penaja baharu bagi menggantikan UOB Kay Hian selepas memaklumkan penarikan diri pada minggu sebelumnya tanpa alasan didedahkan," katanya.

 

Syarikat itu diklasifikasikan sebagai syarikat GN3 pada Mac 2025 selepas ekuiti pemegang sahamnya merosot di bawah 25% daripada modal saham terbitan. Status itu meletakkan kumpulan berkenaan di bawah keperluan mengemukakan pelan pemulihan kewangan kepada Bursa Malaysia.

 

LYC_DagangNews2026

 

Sebelum ini LYC Healthcare memperoleh lanjutan tempoh selama enam bulan dan diberikan masa sehingga akhir November 2026 untuk mengemukakan pelan penyusunan semula. Kegagalan memenuhi keperluan berkaitan boleh menjejaskan peluangnya untuk mengekalkan penyenaraian di pasaran.

 

Kedudukan kewangan kumpulan turut menimbulkan kebimbangan apabila juruaudit luar, SBY Partners PLT, membangkitkan ketidakpastian material berkaitan keupayaan syarikat meneruskan operasi sebagai entiti berterusan dalam penyata kewangan bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2026.

 

Bagi tahun kewangan 2026, kumpulan tersebut mencatatkan kerugian bersih mencecah RM12.69 juta, liabiliti semasa bersih RM72.15 juta serta defisit pemegang saham RM10.62 juta, mencerminkan tekanan kewangan yang perlu ditangani menerusi pelan pemulihan berkenaan.

 

LYC Healthcare juga pernah berdepan dengan penggantungan dagangan saham pada 10 Ogos 2026 selepas gagal menerbitkan laporan tahunan syarikat dalam tempoh ditetapkan bursa. Penggantungan itu bagaimanapun ditarik balik pada 28 Ogos 2026 selepas laporan diterbitkan.

 

Di Bursa Malaysia pada 20 Oktober 2026, sahamnya ditutup susut satu sen atau 66.67% kepada 0.5 sen sesaham, memberikan permodalan sekitar RM2.77 juta. Perhatian kini tertumpu terhadap keupayaan kumpulan mendapatkan penaja baharu dan mengemukakan pelan pemulihan kewangan sebelum tarikh akhir. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved