
KUALA LUMPUR - Malaysia komited untuk memperkukuh kerjasama ekonomi dua hala dengan Bahrain, sebagai rakan strategik dalam mewujudkan pertumbuhan mampan dan inovatif.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu disuarakan sewaktu menerima kunjungan delegasi negara itu, yang diketuai Menteri Pembangunan Mampan dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Ekonomi Bahrain, Noor Ali Sultan Hasan Alkhulaif di Putrajaya hari ini.
Menurut beliau, kunjungan berkenaan turut disertai Duta Bahrain ke Malaysia, Dr Waleed Khalifa Yusuf Almanea.
“Malaysia dan Bahrain telah membina asas kukuh dalam hubungan dagang, dengan potensi besar untuk diperkembangkan, khususnya dalam sektor petroleum, produk berasaskan aluminium, makanan halal, komponen elektronik dan teknologi hijau.
“Malaysia juga melihat peluang yang terhampar terutamanya dalam sektor pelaburan strategik merangkumi tenaga boleh baharu, pembuatan petrokimia, penjagaan kesihatan, serta pembangunan hartanah,” katanya menerusi perkongsian di Facebook.
Jelas Anwar, kedua-dua negara optimis mampu menjadi pemangkin ke arah pertumbuhan lebih tinggi, menggunakan pelbagai inisiatif meliputi kerjasama dalam bidang kewangan Islam, pembangunan industri halal, serta transformasi digital melalui platform MyDigital dan dasar Cloud First Bahrain.

“Malaysia tentunya menyambut baik idea dan saranan untuk menubuhkan hab perkhidmatan global dan taman perindustrian pintar, selain meneliti rangka kerja kerjasama penyelidikan dan pembangunan industri bersama Bahrain.
“Dalam konteks yang sama, kami akan meneruskan rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-GCC sebagai satu wahana dan pendekatan strategik yang sejajar dengan wawasan serantau,” katanya.
Perdana Menteri berkata, pertemuan tersebut memperkukuh iltizam bersama untuk membina masa depan yang saling memperkukuh, saling memanfaat demi kesejahteraan rakyat kedua-dua negara.
“Malaysia akan terus menjadi rakan yang dipercayai dan diyakini, menjunjung prinsip ketelusan, selain bergerak sederap dalam menjamin keterangkuman dan kemajuan bersama,” katanya.
Terdahulu, beliau menerima kunjungan hormat mantan Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida dan menyifatkan ia telah membuka ruang penting bagi memperkukuh kerjasama strategik antara Malaysia dan Jepun dalam mendepani tantangan global.
Katanya, Malaysia selaku Pengerusi ASEAN tahun ini menegaskan iltizam untuk meneraju usaha serantau ke arah masa depan yang rendah karbon.
“Dalam semangat yang sama, kita menyambut baik dukungan teknikal dan penyelidikan canggih daripada Jepun, termasuk melalui inisiatif seperti Asia Zero Emission Community (AZEC) terutamanya dalam menyegerakan pelaksanaan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) secara menyeluruh dan berskala besar,” katanya.

Jepun jelas Anwar, telah muncul sebagai rakan yang mampu melonjak usaha Malaysia untuk menjadi hab serantau dalam inovasi tenaga mampan dan lestari, bersandarkan keupayaan teknologi serta pengalaman mendalam dalam tenaga boleh baharu, bioenergi, dan teknologi pemerangkapan karbon (CCUS).
“Justeru itu, kami turut mengusulkan prakarsa untuk menubuhkan pusat kerjasama baharu di Malaysia sebagai wahana memperkukuh kerjasama rentas sektor dalam bidang teknologi, kemampanan, dan integrasi tenaga ASEAN.
“Kita yakin bahawa melalui kesalinghubungan yang diperluas antara industri, dasar dan komuniti penyelidikan kedua-dua negara, Malaysia akan mampu mempercepat agenda peralihan tenaga, merintis penyelesaian inovatif, dan memperteguh daya tahan ekonomi serantau. Ini saatnya untuk bekerja ke arah pemerkasaan ekonomi demi warisan yang lestari untuk generasi penerus,” katanya. - Getaran, 6 Mei 2025



