
KUCHING - Sarawak berjaya menyelesaikan sepenuhnya 13 daripada 29 perkara yang dibangkitkan di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), manakala lima lagi mencapai penyelesaian sebahagian atau dilaksanakan secara interim, setakat September tahun ini.
Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, Sarawak akan terus mengadakan rundingan dengan Kerajaan Persekutuan bagi menyelesaikan baki perkara yang masih tertunggak.
“Perlembagaan Persekutuan dan MA63 kekal menjadi asas dalam mempertahankan hak serta kepentingan negeri itu dalam Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri majlis sambutan ulang tahun kelahiran ke-80 Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, di Padang Merdeka, hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, Abang Johari turut menyambut baik peruntukan RM16.2 bilion yang disalurkan kepada Sarawak menerusi Belanjawan 2027, meningkat RM1.1 bilion atau 7.3 peratus berbanding RM15.1 bilion pada tahun ini.
“Terima kasih kepada Perdana Menteri dan Kerajaan Persekutuan atas peruntukan ini,” katanya sambil menyifatkan peningkatan berkenaan sebagai gambaran kerjasama berterusan antara kerajaan negeri dan Persekutuan.
Antara perkembangan terbaharu dalam rundingan MA63 ialah pemindahan status serta kuasa pengurusan Pelabuhan Bintulu kepada Sarawak, yang berkuat kuasa pada 1 September lalu susulan persetujuan antara kedua-dua kerajaan.
Menurut Abang Johari, langkah itu menamatkan pengawasan Kerajaan Persekutuan selama 45 tahun dan membolehkan Sarawak membangunkan aset strategik berkenaan dengan lebih lanjut bagi menyokong pertumbuhan ekonomi negeri.
Beliau turut menyambut baik peningkatan geran khas interim Sarawak daripada RM600 juta kepada RM1.5 bilion bagi tahun ini, seperti yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ketika sambutan Hari Malaysia pada 16 September lalu.
“Perbincangan akan diteruskan bagi merangka formula pengiraan geran yang adil, dengan matlamat mencapai penyelesaian yang dipersetujui bersama,” katanya. - Getaran, 10 Oktober 2026






