MA63: Terus bincang, cari titik persamaan

LocalPolitics
12 Sep 2026 • 4:46 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

MA63: Terus bincang, cari titik persamaan

Kota Kinabalu: Perbincangan mengenai pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) perlu diteruskan berasaskan semangat keterbukaan, saling menghormati dan mencari titik persamaan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof (gambar).

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) berkata perbezaan pandangan dalam sesetengah perkara adalah biasa dalam proses perundingan.

“Apa yang penting, kita teruskan perbincangan dengan semangat keterbukaan, saling menghormati dan mencari titik persamaan. Saya percaya pendekatan ini telah membolehkan kita mencapai beberapa kemajuan sebelum ini, dan kita harus meneruskan momentum tersebut,” katanya dalam hantaran di laman media sosial Facebook, Jumaat.

Terdahulu, Fadillah menghadiri MTPMA63 secara dalam talian dari pejabat beliau di Menara Petra, Putrajaya, dengan dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di sini, pagi Jumaat.

Turut hadir Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor, Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg, dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Mustapha Sakmud.

Fadillah berkata Jawatankuasa Teknikal MTPMA63 telah bersidang sebanyak dua kali tahun ini iaitu pada 2 Mac dan 3 Ogos lepas bagi meneliti pelbagai perkara berkaitan MA63.

Beliau berkata dalam kedua-dua mesyuarat berkenaan, pelbagai perkara berkaitan MA63 telah diteliti secara bersama.

“Sebahagiannya dapat ditangani pada peringkat teknikal, manakala terdapat beberapa perkara masih memerlukan pertimbangan dan hala tuju MTPMA63, yang dibawa ke mesyuarat pada hari ini, untuk diteliti bersama,” katanya.

Timbalan Perdana Menteri itu berkata Jawatankuasa Teknikal MTPMA63 akan terus menjadi platform utama bagi meneliti perkara teknikal dan perundangan.

“Sekiranya terdapat perkara yang belum dapat disepakati di peringkat teknikal, barulah dibawa ke MTPMA63 untuk pertimbangan bersama. Bagi perkara yang melibatkan dasar, kita akan memastikan proses pertimbangan pada peringkat Jemaah Menteri dilaksanakan sebagaimana sewajarnya,” katanya.

Fadillah turut merakamkan penghargaan kepada Anwar, Abang Johari dan Hajiji serta semua pihak yang terus memberikan komitmen dalam pelaksanaan MA63.

“Sempena Hari Malaysia ke-63 pada 16 Sept ini, semangat kebersamaan dan muafakat ini wajar terus menjadi asas kepada usaha kita memperkukuh hubungan antara Persekutuan, Sabah dan Sarawak,” katanya.

Sementara itu, Ketua Wanita PKR Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata MA63 tidak boleh dijadikan agenda penting hanya ketika musim pilihan raya, sebaliknya komitmen terhadap Sabah dan Sarawak tidak mengenal musim.

Beliau yang menegaskan perkara itu berkata MA63 bukan perkara baharu bahkan telah lama menjadi sebahagian daripada perjuangan dan perlembagaan parti.

“Bagi kami, menghormati MA63 bermakna menghormati suara dan aspirasi rakyat Sabah dan Sarawak,” katanya dalam hantaran di Facebook, Jumaat.

Fadhlina yang juga Menteri Pendidikan berkata dalam konteks pendidikan, pelbagai perkara yang selama ini dibangkitkan oleh kedua-dua negeri berkenaan telah berjaya diselesaikan secara bersama.

Beliau berkata perkara itu termasuk isu pengambilan guru, sekolah daif dan pembangunan, hinggalah peruntukan serta penglibatan lebih besar kerajaan negeri dalam merancang keperluan pendidikan mereka.

“Sebab itu komitmen ini mesti konsisten. Sabah dan Sarawak mesti sentiasa ada di meja, didengar suaranya dan dilibatkan dalam menentukan apa yang terbaik,” katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved