MA63 terus mengikat, tiada perjanjian baharu

LocalPolitics
19 Sep 2026 • 3:03 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

MA63 terus mengikat, tiada perjanjian baharu

Kuala Lumpur: Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) tidak memerlukan perjanjian baharu atau apa yang disebut sebagai ‘new deal’, sebaliknya terma yang terkandung dalamnya terus hidup, relevan dan mengikat semua pihak.

Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, perkara itu perlu difahami sempena sambutan Hari Malaysia ke-63 yang diraikan pada Rabu, khususnya dalam memahami asas pembentukan Persekutuan Malaysia.

Katanya, MA63 bukan sekadar dokumen sejarah, malah menjadi sebahagian daripada asas yang perlu terus dihormati dan dilaksanakan selaras dengan komitmen yang dipersetujui ketika pembentukan Malaysia pada 1963.

“Negara ini tidak memerlukan perjanjian baharu ataupun apa yang disebut sebagai ‘new deal’ oleh sesetengah pihak.

“Ini kerana hakikatnya, terma-terma perjanjian secara tersurat menzahirkan MA63 itu tidak akan ternoktah sebaik tergubalnya Perlembagaan Persekutuan, dan MA63 itu terus hidup serta komitmen dan tanggungjawab yang digariskan itu kekal relevan dan mengikat dulu, kini dan selamanya,” katanya.

Armizan berkata, antara terma penting yang perlu difahami ialah Artikel VIII MA63 yang memperuntukkan komitmen kerajaan Persekutuan Tanah Melayu, Borneo Utara dan Sarawak untuk mengambil tindakan perundangan, eksekutif atau tindakan lain bagi melaksanakan jaminan, aku janji dan syor yang terkandung dalam Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC).

Menurutnya, terma berkenaan adalah penegasan terhadap komitmen dan tanggungjawab semua pihak yang bersetuju memeterai perjanjian bagi membentuk Persekutuan Malaysia.

Beliau berkata, kefahaman terhadap sejarah pembentukan negara juga tidak seharusnya terhad kepada sejarah kemerdekaan Tanah Melayu pada 1957, sebaliknya turut merangkumi proses dan perjanjian yang membawa kepada pembentukan Malaysia.

“Kesedaran tentang sejarah kemerdekaan negara bukan sekadar memerlukan kefahaman terhadap Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948, kontrak sosial antara tiga kaum utama dan kemerdekaan Tanah Melayu pada 1957, malah menuntut penerimaan sepenuhnya terhadap sijil lahir Persekutuan Malaysia itu sendiri, iaitu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63),” katanya dalam satu kenyataan sempena Hari Malaysia, di sini, Rabu.

Armizan, yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) berkata, sambutan Hari Malaysia perlu menjadi ruang untuk rakyat memahami setiap episod dan lipatan sejarah pembentukan tanah air secara lebih menyeluruh.

Katanya, sambutan tahun ini turut membawa makna tersendiri apabila Malaysia mencapai usia 63 tahun pada 16 September, angka yang disifatkannya sebagai 63/63.

Menurutnya, Hari Malaysia hanya mula diangkat dan dimasukkan dalam takwim rasmi nasional pada 2010, selepas lebih empat dekad tarikh 16 September tidak menjadi tumpuan utama dalam sambutan kenegaraan.

“Bersempena 63/63 tahun ini, marilah kita bersama memahami nilai dan makna sambutan Hari Malaysia dengan menerima kewujudan salah satu terma perjanjian yang dimeterai para pendiri tanah air yang terpahat dalam Artikel VIII, MA63,” katanya.

Beliau turut berharap kefahaman yang lebih menyeluruh terhadap sejarah pembentukan Malaysia dapat diperkukuh dalam kalangan rakyat supaya semangat Persekutuan terus dipelihara.

“Moga Malaysia lebih utuh dan maju, tanah air yang makmur dan selamat untuk sekalian rakyatnya,” katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved