PENYANYI Ina Naim menerima kejutan manis daripada anak sulungnya, Hadie Elfardie yang menghadiahkan seutas rantai emas sempena ulang tahun kelahiran baru-baru ini.
Menerusi satu hantaran di laman sosial TikTok, Ina atau nama penuhnya Nordiana Mohd Naim terharu dan menitiskan air mata menerima pemberian daripada Hadie.
Pada ruangan kapsyen, Hadie menitipkan ucapan hari lahir buat Ina sambil memohon maaf kerana tidak dapat memberikan hadiah mewah buat ibunya.
“Minta maaf ibu, abang tak mampu bagi lebih. Selamat hari jadi, syurgaku,” luah Hadie.
Rata-rata menyifatkan Hadie mengikut jejak langkah bapanya, Allahyarham Suhaimi Saad yang begitu menghargai Ina persis permaisuri.
"Sebab arwah ayahnya layan ibu macam permaisuri, anaknya pun ikut sama. Sebab itu bapa jadilah contoh yang baik, nanti anak akan tiru," titip warganet.
Tidak kurang yang memuji tindakan Hadie tidak lupa menggembirakan ibu dengan titik peluh sendiri apabila sudah mula bekerja.
Sekadar info, Hadie merupakan anak sulung hasil perkahwinan Ina dengan Suhaimi telah kembali ke rahmatullah akibat jangkitan kuman di paru-paru pada November 2023.
Selain Hadie, Ina dan Suhaimi dikurniakan empat cahaya mata iaitu Ehmad Hadie Elfardie, Sallman Elkhoyri, Phyrosh Elfadwah dan Nur Layla Elghufrony.
Ina kemudian berkahwin kali kedua dengan Mohd Khairul Rizal Mohd Shukor pada 8 November 2024.

