“Maafkan I… I Dah Cuba Buat Yang Terbaik” – Luahan Isteri Pemilik Stesen Minyak Undang Sebak Netizen

12 Jan 2026 • 7:27 AM MYT
The Malaysian Update
The Malaysian Update

Portal berita pilihan anda untuk isu semasa, politik, hiburan, & banyak lagi

image is not available

KUALA LUMPUR – Kadang-kadang, kehilangan bukan sekadar tentang pemergian insan tersayang, tetapi juga tentang amanah besar yang ditinggalkan tanpa sempat dipelajari caranya.

Dalam keadaan masih berselubung duka, ada yang terpaksa bangkit memikul tanggungjawab berat demi anak-anak, pekerja setia dan legasi yang dibina bertahun-tahun lamanya. Itulah realiti pahit yang sedang dilalui seorang wanita, apabila luahan hatinya di media sosial mencuri perhatian ramai dan mengundang sebak netizen.

Satu perkongsian menyentuh hati tular di TikTok apabila seorang wanita dikenali sebagai @ninalongkaya berkongsi situasi getir yang sedang dihadapinya selepas pemergian suami tercinta.

Menerusi sebuah video yang memaparkan dirinya berdiri dengan latar belakang sebuah stesen minyak, wanita itu menulis kapsyen ringkas namun penuh makna:

“Maafkan i… i dah cuba usaha buat yg terbaik… 18 tahun u bina…”

Perkongsian tersebut nyata mengundang tanda tanya ramai, sebelum ruangan komen dipenuhi penjelasan daripada netizen yang memahami selok-belok pengurusan stesen minyak.

Lesen & Akaun Ditutup Automatik Selepas Pemilik Meninggal Dunia

Seorang pengguna TikTok, @venom, tampil menjelaskan bahawa suami kepada wanita berkenaan merupakan pemilik stesen minyak tersebut dan telah meninggal dunia.

Menurutnya, apabila pemilik asal meninggal dunia, semua lesen operasi serta akaun bank akan dihentikan secara automatik.

“Kalau owner meninggal, lesen dan akaun bank akan terus stop. Untuk ambil alih, perlu buat pengambilalihan semua lesen dan SSM kepada owner baharu. Prosesnya sangat rumit dan mengambil masa,” jelasnya.

Penjelasan itu turut disokong oleh netizen lain yang berkongsi pengalaman sebenar berkaitan pengurusan stesen minyak, termasuk keperluan menghadiri kursus khas serta mendapatkan kelulusan syarikat minyak seperti Petronas atau Shell sebelum operasi boleh diteruskan atas nama baharu.

Usaha Terakhir Demi Pekerja Setia

Dalam satu lagi video yang dimuat naik, wanita berkenaan berkongsi rakaman seorang pekerjanya yang kelihatan sedang menangis. Difahamkan, pekerja tersebut telah hampir 20 tahun berkhidmat di stesen minyak berkenaan.

Dalam kapsyen penuh emosi, dia menulis:

“Maafkan i… i dah cuba buat yang terbaik untuk staff u… hampir 20 tahun dia bersama u… berkhidmat dengan kita… i dah cuba… tapi Allah dah tulis perjalanan ni.”

Luahan itu jelas menggambarkan usahanya untuk mempertahankan kebajikan pekerja-pekerja arwah suaminya walaupun berdepan kekangan undang-undang dan prosedur operasi.

Luahan Pilu Seorang Isteri & Ibu

Lebih meruntun hati, wanita itu turut menulis kata-kata penuh kasih buat arwah suaminya:

“U tak tinggal i… tapi u pulang lebih awal kan… I akan jaga 5 malaikat kecil kita dengan baik-baik… jangan risau i… i tengah buat yang terbaik…”

Dia turut meluahkan keyakinan bahawa segala yang berlaku adalah ketentuan Allah dan percaya setiap ujian hadir dengan hikmah tersendiri.

“I yakin Allah dah rancang yang terbaik untuk i dan anak-anak… Al-Fatihah sayang.”

Netizen Titip Doa & Sokongan

Ruangan komen dipenuhi doa, kata semangat serta nasihat daripada netizen yang memahami tekanan emosi dan beban tanggungjawab yang sedang dipikul wanita tersebut. Ramai mengingatkan agar berhati-hati menerima bantuan daripada individu tidak dikenali, selain menyarankan agar mendapatkan panduan rasmi daripada pihak syarikat minyak berkaitan.

Perkongsian ini bukan sahaja membuka mata orang ramai tentang realiti pengurusan perniagaan selepas pemergian pemilik, malah mengingatkan betapa beratnya ujian yang terpaksa dilalui oleh seorang balu yang masih berusaha berdiri demi anak-anak dan amanah arwah suami. – The Malaysian Update

The post “Maafkan I… I Dah Cuba Buat Yang Terbaik” – Luahan Isteri Pemilik Stesen Minyak Undang Sebak Netizen appeared first on The Malaysian Update.