
RENDAH diri dan sanggup mengaku kelemahan bukanlah sesuatu yang mudah untuk dilakukan, lebih-lebih lagi buat seorang figura popular yang sentiasa menjadi tumpuan ramai.
Namun, dalam dunia hari ini yang kerap diwarnai dengan sikap acuh tak acuh dan kejar sensasi semata-mata, tindakan pelakon terkenal ini nyata membuktikan bahawa sifat dahagakan ilmu dan adab dalam bertukar pandangan itu masih wujud dan begitu indah untuk dihayati.
Kisah harmoni tersebut bermula apabila pelakon popular, Datuk Mohammad Zalimei Ishak atau lebih mesra disapa Remy Ishak, tampil bertanyakan soalan secara jujur di akaun Threads miliknya.
Aktor utama filem Mikael: Pemburu Dua Alam itu mengakui keliru dengan bunyi laungan azan yang didengarinya lebih awal daripada waktu kebiasaan di kawasan kediamannya.
"Saya selalu terdengar bunyi azan tepat jam 5 pagi walaupun waktu Subuh di Jalan Ampang jam 6:01 pagi. Adakah perkara ini normal atau saya seorang X-Men?" soalnya ringkas namun mencetuskan rasa ingin tahu ramai.
Persoalan yang dilontarkan Remy itu kemudiannya mendapat jawapan yang cukup matang dan berilmu daripada seorang pengguna media sosial.
Tanpa sebarang kecaman atau niat untuk memperlekehkan, individu berkenaan menjelaskan secara berhemah mengenai amalan sunnah yang mungkin jarang diketahui oleh sebahagian masyarakat.
"Amalan melaungkan azan Subuh sebanyak dua kali ialah sunnah Nabi SAW. Azan pertama dilaungkan sebelum masuk waktu untuk memberi amaran waktu Subuh hampir tiba dan memberitahu orang ramai berhenti sahur.
"Azan kedua dilaungkan tepat apabila masuk waktu Subuh sebagai tanda solat fardu bermula," terang pengguna tersebut dengan terperinci.
Menerima pencerahan yang begitu tenang dan bermanfaat itu, Remy tanpa segan silu meluahkan rasa terima kasih atas ilmu baharu yang diperolehnya.
Sikap rendah diri bintang ternama berkenaan yang tidak malu mengakui kekurangannya nyata menyentuh hati ramai warga maya.

"Terima kasih tuan, maafkan saya yang masih jahil," tulis Remy ikhlas sambil menyertakan emoji menggenggam tangan sebagai tanda hormat.
Sikap saling menghormati antara penanya dan pemberi jawapan ini disifatkan ramai sebagai satu momen yang amat berharga di alam maya.
Seorang warganet turut menyuarakan rasa kagum melihat interaksi positif berkenaan yang secara tidak langsung memberi kefahaman fardu ain kepada ribuan pembaca lain.
"Seorang yang popular merendahkan egonya dan bertanya secara jujur, lalu seorang yang berilmu menjawab dengan penjelasan yang cukup jelas. Tidak ada kecam-mengecam. Ribuan orang yang membaca secara tanpa sedar mendapat ilmu fardu ain. Bagus pada yang bertanya dan menjawab. Pada zaman adab makin di belakang ini, payah nak jumpa soal jawab macam ini. Selalu kerja nak troll orang, nak buat lawak atau semua benda nak dipolitikkan," puji warganet tersebut.
Penggerak rutin harian
Ekoran perkongsian Remy itu, ruang komen Threads milik pelakon berkenaan terus diserbu netizen yang turut tidak lepaskan peluang berkongsi pengalaman masing-masing ketika pertama kali mendengar azan Subuh dua kali.
"Saya pertama kali dengar azan dua kali masa tumpang solat Subuh di Perlis, bersempadan dengan Thailand sebelum kami nak masuk border. Mula-mula azan rasa pelik, eh kenapa awal sangat masuk waktu Subuh ini? Dah boleh solat terus ke? Tapi jam belum pukul 6 pagi lagi. Jadi tunggu lagilah sampai kali kedua azan dan jemaah dah mula masuk, baru ikut solat jemaah sekali sama-sama. Tapi pertama kalilah saya rasa Subuh yang terlalu panjang bagi saya waktu itu," kongsi seorang pengguna.
Pengalaman hampir serupa turut diakui oleh seorang lagi netizen ketika bergelar penuntut IPTA suatu ketika dahulu yang menyangka waktu solat sudah pun bermula.
"Pertama kali dengar azan Subuh dua kali masa sambung belajar dekat UiTM Shah Alam. Kunci jam sebab nak sambung buat artwork, selepas itu terdengar azan. Ingatkan dah masuk waktu, tengok jam rasa pelik. Bila rakan bilik bangun dan cerita kat mereka, baru ada yang cakap satu azan untuk kejut bangun Subuh dan satu lagi azan masuk waktu," tulisnya.
Bagi mereka yang memang menetap di kawasan yang mengamalkan azan dua kali, kebiasaan ini dilihat sebagai satu nikmat dan kemudahan besar buat isi rumah.
"Di kawasan rumah saya juga azan dua kali. Pukul 5 pagi azan pertama sebagai isyarat kejutkan orang dari bangun, pukul 6 dan ke atas azan kedua menandakan masuk Subuh. Alhamdulillah perkara ini sangat diterima masyarakat setempat walau ada pelbagai kaum," kata seorang warganet.
Seorang lagi warganet turut menambah sudut pandang dari segi amalan ibadah harian yang boleh dipraktikkan dengan adanya azan pertama tersebut.

"Azan pertama satu jam sebelum masuk waktu Subuh ialah petanda untuk persiapan masuk waktu Subuh. Boleh selesaikan tahajud, witir, doa dan tilawah Al-Quran. Nabi SAW akan lelap sekejap selepas amalan malam sebelum azan Subuh. Semoga Allah bagi taufik untuk kita amal," jelasnya.
Malah ada juga ibu bapa yang menjadikan laungan azan awal ini sebagai 'penggerak' rutin harian keluarga tanpa perlu bergantung sepenuhnya kepada jam loceng.
"Tempat saya pun ada azan pukul 5 pagi. Alhamdulillah tak perlu guna alarm untuk uruskan anak-anak," seloroh seorang lagi warganet.
Di samping perkongsian ilmu dan pengalaman, suasana di ruangan komen tidak ketinggalan dengan usikan mesra warga maya yang sempat bergurau dengan watak lakonan Remy.
"Betullah itu. Abang kan Mikael Pemburu Dua Alam, cuma tak masuk dalam universe Marvel sahaja. Gurau abang!" usik seorang pengikutnya.
"Normal itulah Mi, azan dua kali dan kau bukannya X-Men," tambah netizen lain sambil berseloroh.
Rata-rata masyarakat menyambut baik hantaran santai namun penuh bermakna ini. Pengajaran terbesar daripada situasi ini jelas membuktikan bahawa media sosial boleh menjadi platform yang sangat indah dan sarat ilmu sekiranya digunakan dengan adab, niat yang betul serta sifat rendah diri.





