Vida, Fazley jawab isu kahwin, anak-anak rupanya jadi ‘orang tengah’ - 'Usaha & keberanian dia buka hati saya yang sudah tertutup'

11 Aug 2026 • 11:11 AM MYT
SinarPlus
SinarPlus

SinarPlus is a portal based on News, Current Affairs and Lifestyle content

Image from: Vida, Fazley jawab isu kahwin, anak-anak rupanya jadi ‘orang tengah’ - 'Usaha & keberanian dia buka hati saya yang sudah tertutup'

MELIHAT kemesraan Datuk Seri Vida dan Datuk Fazley Yaakob di media sosial, ada yang mula tersenyum sendiri, malah tidak kurang juga tertanya-tanya apakah hubungan mereka sudah sampai ke satu tahap yang lebih serius.

Kemunculan bersama ketika membuat siaran langsung, gurauan spontan hingga aksi ‘blushing’ antara mereka membuatkan ramai mula membuat andaian.

Tidak hairanlah apabila timbul desas-desus mengatakan pasangan itu sudah pun mendirikan rumah tangga secara senyap-senyap.

Namun, di sebalik segala andaian tersebut, Vida dan Fazley memilih untuk menikmati sahaja perjalanan hubungan mereka tanpa tergesa-gesa melabelkan apa yang sedang dilalui.

Bagi Fazley, perkara yang baik tidak semestinya perlu diceritakan terlalu cepat kerana setiap keputusan besar dalam kehidupan memerlukan masa, perancangan dan pertimbangan.

"Benda yang baik bila nak diceritakan, ambil masa dan perkiraan yang sesuai.

"Banyak benda yang berlaku dalam negara yang perlu diperhalusi, jadi kita bagi jalan dulu.

"Vida pun sering cakap, apa-apa pun biar Syed Saddiq dan Bella jalan (nikah) dahulu. Selepas itu, mungkin masa kami sampai.

"Apabila tiba masanya nanti, kami akan kongsi berita yang membahagiakan itu. Insya-Allah," katanya ketika ditemui pada majlis pertunjukan fesyen Maglifestyle sempena Minggu Fesyen Kuala Lumpur (KLFW) di KLCC, baru-baru ini.

Image from: Vida, Fazley jawab isu kahwin, anak-anak rupanya jadi ‘orang tengah’ - 'Usaha & keberanian dia buka hati saya yang sudah tertutup'

Desas-desus dianggap sebagai doa

Menariknya, Fazley atau nama sebenarnya, Ahmad Fadzli Yaakob tidak melihat spekulasi mengenai status hubungan mereka sebagai sesuatu yang perlu diperbesarkan.

Sebaliknya, penyanyi itu menganggap setiap kata-kata baik daripada netizen sebagai doa buat mereka.

Malah, sekiranya benar tiba masanya untuk mereka membawa hubungan itu ke fasa perkahwinan, Fazley memberi jaminan berita tersebut tidak akan disorok daripada pengetahuan umum.

"Semestinya kami akan dedahkan. Dalam agama pun menyatakan benda-benda yang baik perlu diuar-uarkan.

"Jadi, kalau belum ada apa-apa ucapan rasmi daripada kami berdua atau wakil kami, saya anggap kata-kata yang baik itu semua satu doa untuk mencari kebahagiaan yang hakiki.

"Apa yang berlaku antara saya dan Vida adalah suatu perjalanan yang sangat indah dan membahagiakan.

"Doakanlah supaya perhubungan ini menjadi dan kekal hingga ke akhir hayat," katanya.

Lebih manis, duda kepada empat cahaya mata itu mengakui dirinya berasa bertuah kerana dapat mengenali Vida dengan lebih dekat, bukan sekadar sebagai seorang figura yang dikagumi ramai.

"Peminat mungkin menganggap Vida sebagai idola, tapi saya jauh lebih bertuah kerana berjaya memiliki hati dan jasadnya," ujarnya.

Image from: Vida, Fazley jawab isu kahwin, anak-anak rupanya jadi ‘orang tengah’ - 'Usaha & keberanian dia buka hati saya yang sudah tertutup'

‘Bukan saya saja yang blushing’

Bagi Vida pula, kemesraan yang ditunjukkan bersama Fazley bukanlah sesuatu yang dibuat-buat semata-mata untuk kandungan media sosial.

Sebaliknya, wanita itu mengakui dirinya selesa dengan sisi romantis Fazley, malah banyak momen yang berlaku antara mereka tercetus secara spontan.

Katanya, ketika mereka melakukan demo produk bersama, suasana santai yang diselangi gurauan dan gelak tawa membuatkan kemesraan itu hadir secara semula jadi.

"Dia seorang yang sangat romantis. Apa yang berlaku adalah secara spontan dan lahir dari hati ketika kami membuat demo produk sambil bergelak ketawa.

"Saya sendiri ketawa apabila menonton kembali video-video kami. Bukan saya saja yang 'blushing', orang lain pun sama," kata Vida.

Pengakuan itu sedikit sebanyak menjelaskan mengapa setiap kali mereka muncul bersama, interaksi yang terhasil kelihatan begitu bersahaja dan tidak dibuat-buat.

Image from: Vida, Fazley jawab isu kahwin, anak-anak rupanya jadi ‘orang tengah’ - 'Usaha & keberanian dia buka hati saya yang sudah tertutup'

Anak-anak rupanya ada ‘tangan’

Jika ada yang menyangka hubungan itu tercetus hanya kerana keserasian antara Vida dan Fazley, wanita berkenaan mempunyai cerita yang lebih menarik.

Menurut Vida atau nama sebenar Hasmiza Othman, anak-anak sebenarnya antara individu yang membantu mendekatkan dirinya dengan Fazley.

Namun, katanya, tidak semudah itu untuk membuka kembali hati yang pernah tertutup.

Bagi Vida, keberanian Fazley untuk mendekatinya serta kesungguhan lelaki itu memainkan peranan penting sehingga akhirnya hatinya mula terbuka.

"Anak-anak yang sebenarnya aturkan, tapi bukan semudah aturkan sahaja.

"Usaha dan keberanian Fazley cuba menawan hati saya turut berjaya membuka hati saya yang sudah tertutup.

"Mungkin juga keikhlasannya membuatkan hati saya tertawan. Dia direct cakap pada saya dan saya cakap tunggu dan lihat.

"Dia cakap pada hari yang afdal untuk berdoa dan afdal untuk minta apa sahaja. Jadi saya kata, tunggu lah..." ungkapnya.

Cerita Vida itu secara tidak langsung menunjukkan bahawa hubungan mereka bukan semata-mata tentang kemesraan di hadapan kamera, sebaliknya turut melalui proses mengenali hati dan keluarga masing-masing.

Image from: Vida, Fazley jawab isu kahwin, anak-anak rupanya jadi ‘orang tengah’ - 'Usaha & keberanian dia buka hati saya yang sudah tertutup'

Doa anak-anak jadi penguat

Dalam hubungan yang melibatkan keluarga, penerimaan anak-anak pastinya menjadi antara perkara penting.

Fazley sendiri melihat doa anak-anak sebagai sesuatu yang sangat ikhlas dan tidak mempunyai kepentingan tertentu.

"Anak-anak macam kain putih. Doa mereka sangat ikhlas," katanya.

Bagi pasangan yang sudah melalui pelbagai fasa kehidupan, sokongan keluarga sememangnya boleh menjadi sumber kekuatan dalam menentukan langkah seterusnya.

Azreen turut beri sokongan

Dalam masa sama, penerimaan bekas isteri Fazley, Azreen Abdul Rahim, terhadap hubungan tersebut turut menjadi perhatian.

Menurut Fazley, Azreen memberikan sokongan terhadap perjalanan baharu dalam kehidupannya.

Katanya, hubungan mereka tetap berlandaskan sebuah keluarga besar yang saling menghormati dan memahami.

Image from: Vida, Fazley jawab isu kahwin, anak-anak rupanya jadi ‘orang tengah’ - 'Usaha & keberanian dia buka hati saya yang sudah tertutup'

"Sebagai satu keluarga yang besar, dia (Azreen) sangat menyokong dan benda itu sangat memberikan support kepada kami," katanya.

Pada akhirnya, Vida dan Fazley tidak perlu tergesa-gesa menjawab setiap persoalan yang timbul mengenai hubungan mereka.

Apa yang jelas, mereka kini sedang menikmati sebuah perjalanan yang menurut Fazley sendiri cukup indah dan membahagiakan.

Soal bila hubungan itu akan dibawa ke fasa seterusnya, biarlah masa menentukan.

Seperti kata Fazley, apabila tiba masanya nanti, mereka sendiri akan berkongsi berita bahagia tersebut.

Buat masa ini, mungkin ‘tunggu dan lihat’ menjadi jawapan paling tepat buat peminat yang masih tertanya-tanya tentang kisah hati Vida dan Fazley.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved