
Macam Biskut Yaya Dalam Boboiboy, Lelaki Kongsi Resipi Kuih Raya 'Unik' Sambal Udang Petai
Tinggal beberapa hari sahaja lagi sebelum umat Islam menyambut Hari Raya Aidilfitri dan pastinya ramai sudah mula membuat persiapan rapi untuk menyambutnya.
Bermula dengan persiapan membeli baju raya, mengemas rumah, menukar langsir, hingga kuih-raya, segalanya sudah pasti dilakukan dengan cermat.
Seiring dengan peredaran zaman, pelbagai resipi kuih raya moden kini kian popular dan dikongsikan secara meluas oleh orang ramai di media sosial.
Dalam pada itu, ada yang lebih kreatif dengan menghasilkan biskut yang unik dan luar daripada kebiasaan.
Lelaki kongsi resipi 'unik' biskut Sambal Udang Petai
Baru-baru ini, seorang lelaki telah menarik perhatian ramai apabila berkongsi resipi biskut Sambal Udang Petai untuk dihidangkan kepada tetamu sempena Hari Raya Aidilfitri.
Menerusi video yang dikongsikan oleh @ikmlzlkfli di TikTok, pada awalnya, dia menambahkan mentega bersama gula kastor.
Kedua-dua bahan itu kemudiannya diadun sehingga sebati dan memperoleh tekstur berkrim.
Setelah itu, lelaki berkenaan menambah satu sudu cili kisar, hirisan petai, serta isi udang yang telah direbus dan dicincang kasar.
@ikmlzlkfli berkata, orang ramai boleh menggunakan udang kering bagi memudahkan proses.
Adunan tersebut kemudian diuli sehingga sebati sebelum dia menambah tepung gandum, tepung jagung dan sedikit soda bikarbonat.
Tambahnya lagi, selepas adunan sebati, pastikan doh diuli sehingga tidak melekat pada tangan.
Seterusnya, doh dibentuk mengikut citarasa sebelum dibakar dalam ketuhar pada suhu 170 celcius selama 15 minit.
Video berkenaan mendapat 216k tontonan setakat ini
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata pengguna TikTok memberi pelbagai reaksi terhadap video tersebut.
Dalam masa sama, ada yang menyifatkan perkongsian resipi biskut Sambal Udang Petai itu seperti watak Yaya dalam animasi bersiri Boboiboy.
"Bang, lepas ni buat kuih raya tempoyak pula," komen seorang warga maya.
"Apa rasa biskut tu sebab letak gula. Kalau tak letak gula letak garam okay la jadi biskut perisa savoury," komen seorang lagi warga maya.
Baca juga:

