“Macam Kat Hong Kong Dah” – Bilik Sewa Sempit Tepi Balkoni Dengan Harga RM600 Curi Perhatian Ramai

PropertyHome & Living
7 Apr 2023 • 11:40 AM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available
bilik sewa sempit berharga rm600

Tidak dinafikan ramai di antara kita yang bekerja atau belajar di kawasan bandar lebih memilih untuk menyewa rumah atau bilik sebagai tempat tinggal.

Namun dalam kita melakukan proses pencarian bagi membuat pilihan tempat tinggal untuk disewa, pasti kita ada beberapa kriteria yang diutamakan contohnya jenis kawasan perumahan, jarak ke tempat kerja, keselamatan, saiz ruang dan juga harga yang berpatutan.

Perkara ini dilakukan agar bilik atau rumah yang disewa adalah selesa dan mengikut kepada kemampuan diri seseorang.

Walau bagaimanapun, dalam proses kita mencari pasti ada beberapa iklan sewaan yang tidak masuk akal apabila menawarkan dengan harga yang mahal dan tidak berbaloi dengan bilik atau rumah yang disewakan.

Bilik sewa RM600 undang perhatian ramai

Baru-baru ini, tular satu ciapan di Twitter dikongsikan oleh Asyraf Rosli yang memaparkan sebuah bilik sewa dipercayai di Shah Alam, Selangor yang berharga RM600 (bulanan) hingga menjadi tumpuan ramai.

Namun apa yang menjadi perhatian, bilik sewa yang dilengkapi dengan sebuah katil bujang dan kipas itu kelihatan sangat sempit.

Bukan hanya itu, ruang dari katil ke sliding door (pintu gelangsar) juga dilihat begitu kecil hingg ada yang menyifatkannya tidak selesa untuk dihuni.

Ruang untuk berjalan antara di dalam bilik dengan balkoni terlalu sempit

Meskipun bilik ini mempunyai ruang balkoni dan mempunyai perabot yang lengkap namun harga dan keluasan yang diberikan adalah tidak berpatutan dengan harganya.

Melihat di ruangan balas, ramai yang tidak bersetuju dengan harga yang disewakan kerana dipercayai ruangan tersebut adalah bilik tambahan yang dibuat oleh pemilik.

Ada juga yang menyatakan mereka boleh mendapat bilik sewa yang lebih murah dengan keluasan lebih besar dari gambar berkenaan.

Selain itu, ada juga menyatakan bilik berkenaan berisiko dimasuki air hujan kerana terlalu rapat dengan balkoni sekiranya cermin tidak ditutup.