
TEMERLOH – Keadaan kereta Proton S70 yang remuk teruk menyukarkan kerja-kerja pasukan bomba untuk mengeluarkan tiga mangsa maut yang tersepit dalam kemalangan ngeri melibatkan 11 buah kenderaan di Kilometer 110.3 Lebuh Raya Pantai Tumur (LPT1) arah timur di Lanchang di sini malamkelmarin.
Dalam kejadian pukul 10.55 malam itu seolah-olah memperlihatkan kereta sedan berwarna putih itu bagaikan ‘sandwich’ apabila tersepit antara treler simen dan sebuah bas
ekspres.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Pahang, Mohd. Salahuddin Isa berkata, bomba menghadapi cabaran bagi mengeluarkan tiga mangsa di dalam Proton S70 yang remuk berkenaan.
“Kereta berkenaan berada di antara treler dan bas, menyebabkan kita terpaksa menarik bas tersebut ke hadapan barulah proses mengeluarkan mangsa tersepit daripada kereta.
“Mangsa mengalami kecederaan parah dan tersepit, bagaimanapun alhamdulillah jasad mereka Allah jaga, tidak seperti digilis kenderaan,” katanya di sini semalam.
Menurutnya, jasad suami isteri berkenaan tersepit di bahagian hadapan kereta, manakala seorang kanak-kanak tersepit antara dua tempat duduk depan dan belakang.
Dalam pada itu katanya, bomba yang tiba di lokasi kejadian pada pukul 11.24 malam menamatkan operasi pada pukul 2.50 pagi selepas mengeluarkan kesemua mangsa yang tersepit.
Katanya, operasi melibatkan Balai Bomba Mentakab, Balai Bomba Temerloh, Balai Bomba Karak dan juga Zon 2 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang.
Jelasnya, operasi dimulakan dengan mengeluarkan mangsa tersepit yang masih hidup sebelum mengeluarkan mangsa tersepit yang sudah meninggal dunia.
The post ‘Macam sandwic, kena tarik bas dulu baru nampak mangsa’ appeared first on Kosmo Digital.




