Keadaan sebuah Proton S70 yang remuk teruk menyebabkan operasi menyelamat tiga mangsa maut yang tersepit dalam kemalangan membabitkan 11 kenderaan di Kilometer 110.3 Lebuhraya Pantai Timur (LPT1) arah timur dekat Lanchang, Temerloh pada Isnin mengambil masa.
Menurut laporan Kosmo! Online, sedan putih itu terperangkap di antara sebuah treler membawa muatan simen dan bas ekspres sehingga kelihatan seperti ‘sandwich’ selepas terlibat dalam kemalangan pada kira-kira pukul 10.55 malam.

Foto: Bomba
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd. Salahuddin Isa berkata, kedudukan Proton S70 yang dihimpit dua kenderaan berat itu menyukarkan pasukan penyelamat untuk mengeluarkan mangsa.
“Kereta berkenaan berada di antara treler dan bas, menyebabkan kita terpaksa menarik bas tersebut ke hadapan barulah proses mengeluarkan mangsa tersepit daripada kereta.
“Mangsa mengalami kecederaan parah dan tersepit, bagaimanapun alhamdulillah jasad mereka Allah jaga, tidak seperti digilis kenderaan,” katanya semalam.

Foto: Media sosial
Beliau berkata, dua mangsa iaitu pasangan suami isteri ditemui tersepit di bahagian hadapan Proton S70, manakala seorang kanak-kanak pula tersepit di antara tempat duduk bahagian depan dan belakang.

Foto: Media sosial
Pasukan bomba tiba di lokasi pada pukul 11.24 malam dan operasi menyelamat berakhir pada pukul 2.50 pagi selepas semua mangsa yang tersepit berjaya dikeluarkan.
Menurut Mohd. Salahuddin, operasi itu disertai anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Mentakab, Temerloh dan Karak serta Zon 2 JBPM Pahang.

Foto: Bernama
Ujarnya, pasukan penyelamat terlebih dahulu memberi tumpuan kepada mangsa yang masih hidup sebelum meneruskan kerja mengeluarkan tiga mangsa yang telah meninggal dunia.
Sumber: Kosmo! Online






