hamden24/11/2026 - 14:30 Gambar Hiasan Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 24 Nov – Macquarie Asset Management mengetuai konsortium untuk mengambil alih perniagaan menara telekomunikasi antarabangsa Edotco Group Sdn Bhd di lima pasaran Asia Pasifik menerusi urus niaga bernilai kira-kira AS$1.2 bilion (RM5.0 bilion).
Urus niaga itu membabitkan pengambilalihan aset Edotco secara bersepadu di lima pasaran, dengan Macquarie Asia-Pacific Infrastructure Fund 4 (MAIF4) mengambil alih operasi syarikat itu di Filipina, manakala anggota konsortium lain akan memperoleh perniagaannya di empat pasaran selebihnya.
Perniagaan Edotco di Filipina, Edotco Towers Inc, memiliki dan mengendalikan kira-kira 3,200 menara telekomunikasi yang menyokong pengendali rangkaian mudah alih di negara itu.
Platform berkenaan mencatatkan nisbah penyewaan bersama (tenancy ratio) kira-kira 1.2 kali setakat 30 Jun 2026, sekali gus menyediakan ruang untuk menampung penyewa tambahan susulan peningkatan permintaan terhadap kesalinghubungan mudah alih dan penggunaan data.
Artikel berkaitan: Penjualan edotco: Axiata bakal raih RM2.22 bilion, Khazanah bayar RM659.4 juta tambah pegangan kepada 47.3%
Pengurus aset global itu berkata, urus niaga tersebut distrukturkan sebagai satu penyelesaian bersepadu bagi membolehkan pemegang saham Edotco Group melaksanakan pelupusan portfolio serantau yang kompleks, selain memberikan konsortium itu tapak permulaan dalam pasaran menara telekomunikasi Filipina.
Ketua Pegawai Eksekutif Macquarie Group Asia merangkap Ketua Bersama Infrastruktur Asia Pasifik Macquarie Asset Management, Verena Lim berkata, pengambilalihan itu mencerminkan keyakinan kumpulan terhadap pertumbuhan infrastruktur digital di seluruh Asia Tenggara.
"Edotco Philippines merupakan platform yang telah kukuh dan memainkan peranan penting dalam menyokong keperluan kesalinghubungan negara itu yang semakin meningkat.
"Pelaburan ini mencerminkan keyakinan kami terhadap pertumbuhan berterusan infrastruktur digital di seluruh Asia Tenggara, serta keupayaan kami memanfaatkan kehadiran serantau, hubungan tempatan dan kepakaran infrastruktur bagi melaksanakan peluang kompleks merentasi pelbagai pasaran," katanya dalam kenyataan.
Urus niaga itu tertakluk kepada syarat lazim, termasuk kelulusan pihak berkuasa kawal selia dan pemegang saham, dan dijangka dimuktamadkan pada 2027. - DagangNews.com


